Oleh Zihan Zari
MERBOK – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan program Malaysia Techlympics sejak 2022, mencatatkan secara purata hampir 1.4 juta penyertaan tahunan secara konsisten.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata
penganjuran Malaysia Techlympics merupakan manifestasi dan inisiatif kerajaan melalui MOSTI dalam mengurangkan jurang bandar-luar bandar, melahirkan jaringan mentor berterusan, dan memastikan generasi muda di seluruh negara mendapat akses saksama kepada teknologi dan inovasi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Zon Utara di Dewan Perdana, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah dekat sini pada Isnin.
Yang hadir, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Ruziah Shafei; Rektor UiTM Cawangan Kedah, Profesor Dr. Roshima Said; dan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Bioeconomy Development Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak.
Terdahulu, Lih Kang berkata, setakat ini sebanyak 1.7 juta penyertaan telah direkodkan, ini merupakan pencapaian yang membanggakan, seiring dengan hasrat kerajaan Madani untuk menarik minat lebih ramai anak muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, Malaysia Techlympics kini memasuki tahun keempat penganjurannya sejak diperkenalkan pada 2022 merupakan antara inisiatif utama MOSTI dalam usaha membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat, terutamanya pelajar dan belia.
Inisiatif ini selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 yang menekankan pelaksanaan program pembudayaan STI secara bersepadu, konsisten dan inklusif, bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang peranan STI dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, matlamat utama Malaysia Techlympics adalah untuk membentuk budaya STI yang holistik melalui kaedah experiential learning, aktiviti berasaskan amali (hands-on), serta pertandingan yang bersifat interaktif dan inklusif merentasi pelbagai peringkat umur, jantina dan latar belakang.
“Sejak dilancarkan pada 2022, Malaysia Techlympics telah menjelajah lebih 50 lokasi di seluruh negara, bermula di Kedah sebagai zon pertama dan kemudian diperluas ke zon Tengah, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak.
“Tahun ini, Techlympics kembali semula ke Kedah sebagai simbolik kitaran penuh, mengimbau titik permulaan sekaligus membuktikan komitmen berterusan MOSTI dalam memperkukuh ekosistem STEM di negeri ini.
“Usaha untuk melatih dan membimbing pegawai teknikal STEM negeri yang terdiri daripada guru-guru turut dijalankan. Mereka kini berperanan sebagai jurulatih utama yang dapat memperkasa rakan guru lain di daerah masing-masing.
“Kesannya amat dirasai di kawasan luar bandar dan pedalaman apabila semakin ramai murid mendapat peluang untuk menyertai aktiviti STEM, menggunakan peralatan yang telah dibekalkan, serta menerima bimbingan berkualiti daripada tenaga pengajar yang terlatih yang turut melibatkan penyertaan sekolah Orang Asli seperti di SK Siong, Baling,”katanya.
“Selaras dengan prinsip keterangkuman, Malaysia Techlympics juga melaksanakan Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) bagi memastikan akses kepada pendidikan STEM dapat diperluas khususnya di kawasan luar bandar.
“Sehingga kini, lebih daripada 2,800 pelajar dan 200 guru dari Zon Utara telah terlibat dalam program ini melalui pelbagai bentuk latihan, termasuk Training of Trainers (ToT) secara fizikal dan dalam talian,”katanya lagi.
“Pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), dron dan robotik seringkali menimbulkan persoalan tentang masa depan tenaga kerja.
“Penting untuk difahami bahawa teknologi ini tidak bertujuan menggantikan manusia, sebaliknya membuka peluang baharu yang memerlukan kemahiran baharu,”tegasnya.
“Inilah masanya untuk kita memperkukuh usaha melahirkan generasi yang celik teknologi, berdaya saing dan mampu menjadi pencipta, bukan sekadar pengguna dan transformasi teknologi mesti disertai dengan pembangunan bakat.
“Pelajar dan golongan muda perlu diberi pendedahan awal dalam bidang STEM, agar mereka bersedia mengisi peluang pekerjaan baharu dalam sektor teknologi tinggi, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan AI.
“Komitmen ini turut diterjemahkan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada pembangunan teknologi dan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Fokus ini mencerminkan keyakinan kerajaan bahawa inovasi adalah kunci kepada kemajuan, dengan memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara inklusif oleh seluruh rakyat, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, MOSTI yakin bahawa pendedahan awal terhadap teknologi ini mampu melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang akan menyumbang kepada ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, seterusnya menyokong agenda Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan ‘Nexora’ telah dipilih sebagai nama rasmi robot humanoid Malaysia Techlympics yang lahir daripada gabungan Next (masa depan & kemajuan) dan Aura (cahaya & inspirasi) melambangkan aspirasi Malaysia untuk terus mara dalam teknologi robotik dan kecerdasan buatan.
‘Nexora’ bukan sekadar robot, malah simbol semangat dan inspirasi untuk generasi muda Malaysia memacu negara ke era yang lebih gemilang.
Malaysia Techlympics Peringkat Zon Utara yang berlangsung selama dua hari, di sini menyaksikan lebih 3,000 peserta dan 180 sekolah dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang & Perak merupakan penyertaan yang amat membanggakan. – SUARA.TV



