KUALA LUMPUR – Keterangan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini hari ini.
Peguam yang mewakili Yi Ze, Zaid Malek berkata, beliau dimaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Saya sekali lagi sini menekankan bahawa siasatan yang dibuat terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh UMANY adalah satu kenyataan yang tidak mempunyai unsur jenayah dan tidak sepatutnya disiasat.
“Mereka mempunyai hak untuk bersuara dan ini berkenaan isu berkepentingan awam.
“Jadi saya tak faham kenapa perlu ada siasatan terhadap kenyataan ini,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Wangsa Maju lapor Utusan pada Selasa.
Beliau kemudian mengiringi Yi Ze masuk bertemu pegawai polis kira-kira pukul 2.05 petang.
Zaid berkata, sistem pendidikan itu merupakan isu umum.
“Siapa yang boleh bercakap kalau bukan warga Malaysia? Adakah hanya pihak berkuasa saja boleh bercakap? Bagaimana pula dengan kelompok-kelompok yang banyak mengkritik kewujudan sistem vernakular.
“Mereka boleh pula bercakap berkenaan isu-isu sebegitu tanpa diganggu dengan apa-apa siasatan berkenaan kenyataan tersebut. Jadi di sini nampaklah pertuduhan atau pun siasatan ini pilih kasih,” ujarnya.
Sementara itu, Yi Ze menzahirkan terima kasih kepada pihak atau badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sokongan kepada UMANY.
Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung kenyataan UMANY yang menggesa pemansuhan program matrikulasi
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, laporan polis pertama diterima pada 12 September selepas kenyataan itu disiarkan sebuah portal berita melalui Presiden UMANY, Tang Yi Ze.
Sebelum ini, UMANY menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan damenjadikan silibus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.



