KUALA LUMPUR, – MuviiGrind, platform penstriman hiburan terbaharu di rantau ini, memulakan pencarian bakat baharu untuk menyertai produksi drama vertikal yang bakal mengangkat kisah kehidupan masyarakat di seluruh ASEAN.
Menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama sesi uji bakat, inisiatif ini bertepatan dengan kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN ke-47, sekali gus mencerminkan komitmen MuviiGrind memperkaya industri hiburan serantau dengan suara baharu yang segar dan relevan.
Lebih 120 Peserta Hadir, 480 Daftar
Sesi uji bakat yang berlangsung di Teedo Hotel, Kuala Lumpur dari jam 10 pagi hingga 6 petang menyaksikan lebih 120 peserta hadir dengan penuh semangat, manakala lebih 480 individu telah mendaftar dari seluruh negara. Sambutan luar biasa itu mendorong pihak penganjur merancang sesi kedua dalam masa terdekat.
Peserta memuji lokasi yang strategik dengan akses mudah pengangkutan awam serta kemudahan parkir mencukupi. Teedo Hotel, selaku lokasi rasmi, turut menyediakan hidangan sepanjang sesi bagi memastikan keselesaan peserta dan panel.
Panel Penghakiman Berprofil Tinggi
Panel juri terdiri daripada nama-nama besar industri hiburan Malaysia, antaranya Datuk Fauziah Nawi, Rosnah Johari dan Zila Bakarin yang masing-masing membawa pengalaman berdekad dalam dunia seni.
Turut serta ialah pengarah dan penulis prolifik seperti Hafiz Derani, Zaiham Zainal (Curly Jow), dan Rizuan Md Nor (Apple). Pelakon popular Danial Dashuki dan Tiara Suraya pula dijemput sebagai panel khas bagi memberi pendedahan tambahan kepada para peserta.
Sokongan Padu Industri
Penganjuran sesi uji bakat ini turut mendapat sokongan Teedo Hotel sebagai penaja lokasi, dan Dosz Coffee Malaysia yang menyediakan lebih 500 cawan kopi, teh dan coklat percuma kepada peserta.
Melihat kepada sambutan positif, MuviiGrind menyatakan hasrat untuk memperluas kerjasama strategik dengan rakan industri hiburan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina.
Menembusi Pasaran Serantau
Sebagai sebahagian strategi serantau, MuviiGrind turut merancang melibatkan pemenang festival filem antarabangsa seperti Cinema International Film Festival (Filipina), Piala Citra Festival Film (Indonesia) dan Suphannahong National Film Awards (Thailand) dalam produksi akan datang.
Langkah ini diyakini mampu menghasilkan drama vertikal berdaya saing tinggi yang relevan dengan cita rasa penonton pelbagai latar belakang budaya di rantau ASEAN.- SuaraTV



