TEL AVIV – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mula tak senang duduk setelah berasa ‘dikhianati’ sejumlah negara Barat yang kini berpihak kepada Palestin.
Pada Ahad, pemimpin ‘ekstremis’ itu berikrar mahu memperluaskan lagi projek penempatan haram di Tebing Barat yang sememangnya melanggar undang-undang antarabangsa, lapor Agensi.
“Selama bertahun-tahun, saya cuba menghalang penubuhan ‘negara pengganas’ ini meskipun berdepan tekanan di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Sebagai tindak balas, kami akan menggandakan penempatan di Judea dan Samaria (Tebing Barat).
“Pemimpin asing telah memberi ‘hadiah’ kepada Hamas, sekali gus mengancam kewujudan Israel,” menurut kata-kata mengarutnya ketika meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Britain dan sekutu Barat lain.
Netanyahu dalam nada ancaman juga menyatakan ‘sebuah negara Palestin tidak akan ditubuhkan di sebelah barat Sungai Jordan’.
Pemimpin veteran itu juga memberi amaran ia akan mengumumkan respons tegas Israel setelah kembali dari lawatan ke Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, Washington selaku sekutu kuat Tel Aviv menyifatkan pengiktirafan negara Palestin oleh beberapa sekutu utama mereka sebagai ‘sekadar retorik semata-mata’.
“Fokus kami kekal kepada diplomasi yang serius dan bukannya hanya lakonan. Keutamaan kami jelas iaitu bebaskan kesemua baki tawanan dan keamanan di rantau Asia Barat yang hanya boleh dicapai jika tiada lagi kewujudan Hamas,” ujar jurucakap Jabatan Negara AS.



