KUALA LUMPUR, – Ketua Cabang KEADILAN Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi menegaskan bahawa denda RM100,000 yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Sin Chew Daily dan Sinar Harian tidak boleh dianggap keterlaluan atau berbahaya, sebaliknya langkah penting bagi memperkukuh tanggungjawab media.
Beliau berkata, walaupun ada tokoh seperti wartawan veteran Johan Jaafar menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak pernah berlaku dan berbahaya”, hakikatnya isu ini harus dilihat daripada sudut etika kewartawanan serta tanggungjawab profesional.
“MCMC tidak berniat menindas kebebasan bersuara, sebaliknya mahu menekankan peri pentingnya ketepatan dan tanggungjawab dalam industri media. Kebebasan bersuara adalah asas demokrasi, tetapi ia tidak bermakna kebebasan untuk menyebarkan maklumat salah tanpa sebarang akibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Asheeq, alasan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kes Sin Chew tidak boleh dijadikan justifikasi atas kesilapan besar menyiarkan Jalur Gemilang dengan elemen yang tercicir. Katanya, sebagai organisasi media berpengalaman, kegagalan itu mencerminkan kelemahan serius dalam proses editorial yang tidak wajar dipandang ringan.
“Kalau denda RM100,000 dianggap bahaya, maka kesilapan Jalur Gemilang itu sebenarnya bencana nasional. Ia menimbulkan kekecohan dan kekecewaan orang ramai. Itu jauh lebih berbahaya,” tegasnya.
Dalam kes Sinar Harian pula, katanya, kesilapan lebih kritikal apabila akhbar itu secara salah melaporkan bahawa Ketua Polis Negara adalah ahli sebuah parti politik.
“Menuduh seseorang secara palsu jauh lebih berbahaya daripada denda yang dikenakan. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan pegawai tertinggi polis. Kesilapan itu boleh menjejaskan kredibiliti serta menimbulkan keraguan terhadap profesionalisme pihak berkuasa keselamatan negara,” jelasnya.
Beliau menambah, kedua-dua kes tersebut berpunca daripada kegagalan dalam proses semakan fakta sebelum penerbitan, dan denda MCMC ini adalah isyarat jelas bahawa kecuaian sedemikian tidak boleh diterima.
Asheeq juga menekankan bahawa tindakan MCMC adalah berlandaskan undang-undang, iaitu di bawah Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 243 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara.
“Denda ini bukan untuk menyekat kebebasan media, tetapi untuk melindungi integriti maklumat yang sampai kepada rakyat. Ia bukan kawalan politik seperti dahulu, sebaliknya langkah penguatkuasaan undang-undang demi memastikan media lebih bertanggungjawab. Media bebas, tetapi mesti lebih profesional,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai peringatan kepada semua organisasi media agar memperkukuh kawalan editorial, meningkatkan standard kewartawanan, dan mengekalkan kepercayaan awam dalam era digital yang semakin mencabar.-Suara.TV



