KUALA LUMPUR, – Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin memberi amaran bahawa tindakan keras kerajaan terhadap media akan hanya menghakis sokongan rakyat terhadap Kerajaan Madani.
Dalam catatan terbaharu beliau, Abdul Kadir mendedahkan pernah mengirim pesanan WhatsApp kepada seorang Menteri Melayu dalam Kabinet pada 19 September lalu, mengkritik tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan denda RM100,000 terhadap akhbar Sin Chew dan Sinar Harian.
“Tindakan (ke atas Sinar Harian dan Sin Chew) terlalu keras dan crude (kasar). Tidak mencerminkan kerajaan reformasi dan Madani. Amaran keras sudah cukup. Mereka pun awal-awal lagi mohon maaf dan buat pembetulan. Picking on the media doesn’t show the Madani Government is confident and tolerant,” tulis beliau.
Menurut Abdul Kadir, kuasa yang ada pada SKMM, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Peguam Negara untuk bertindak sebagai penyiasat, pendakwa dan penghukum tidak seharusnya digunakan secara keterlaluan. “Yang akan kehilangan sokongan adalah Kerajaan Madani,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan hari ini berbeza kerana memperagakan dirinya sebagai reformis, demokratik dan toleran, justeru tindakan keras terhadap media boleh mencalar imej tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata pesanan WhatsApp yang dihantarnya tidak menerima sebarang maklum balas daripada menteri berkenaan, malah salam beliau juga tidak berjawab. “Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya saya telah beri maklum balas sebagai seorang kawan. Saya faham, bagi seorang Menteri, lebih baik hilang kawan daripada hilang jawatan,” katanya sinis.
Abdul Kadir merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP. -SuaraTV



