Ahmad’s Fried Chicken buka cawangan Ke-44 di Kota Warisan, Sepang

Dari Wagon Kecil ke Rangkaian Nasional, Menuju Pasaran Global

Cyberjaya 13 Setember 2025– Suasana meriah jelas terasa apabila Ahmad’s Fried Chicken (AFC) melancarkan cawangan terbarunya yang ke-44 di Kota Warisan, Sepang pada 13 September 2025. Majlis ini bukan sahaja sekadar perasmian sebuah restoran, tetapi simbol perjalanan sebuah jenama tempatan yang lahir daripada impian kecil dan kini sedang menuju ke pentas antarabangsa.

Pelancaran itu turut dihadiri oleh pengasas Ahmad’s Fried Chicken, Encik Taufik Khairuddin bersama isterinya, Puan Lailatul Sarahjana Mohd Ismail, yang juga pengasas bersama syarikat. Turut memeriahkan acara ialah selebriti tersohor tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi (Pak Nil), yang menjadi tetamu istimewa majlis tersebut.

Kemuncak acara adalah apabila Pak Nil dengan penuh gaya menyempurnakan gimik perasmian   meletupkan belon dan menandatangani plak sebagai simbolik pembukaan outlet ke-44. Sorakan dan tepukan para tetamu menggema, seakan mengiringi langkah besar Ahmad’s untuk terus berdiri sebagai jenama ayam goreng nombor satu Malaysia.

Selepas perasmian, para tetamu dijamu dengan pelbagai sajian istimewa Ahmad’s, termasuk menu terbaru yang mencuri perhatian, Burger Sate, serta ayam goreng rangup pilihan Spicy dan Original. Sesi diteruskan dengan sidang media, di mana pengasas berkongsi perjalanan dan perancangan masa depan syarikat.

Dalam perkongsiannya, Puan Lailatul Sarahjana mengimbau kembali bagaimana Ahmad’s bermula. Menurutnya, segala-galanya lahir daripada permintaan anak mereka yang gemar ayam goreng. Dari situ, pasangan ini memutuskan untuk membuka kedai kecil.

Pada awalnya, anak kami hanya suka makan ayam goreng. Disebabkan permintaan itu, saya dan suami memutuskan untuk buka kedai kecil. Kami bermula dengan wagon di Senawang, hanya menjual ayam goreng dan chicken tenders. Sambutan pada hari pertama sangat luar biasa. Dari situ, kami tambah menu dan akhirnya lahirlah restoran pertama kami,” kongsinya.

Selepas kejayaan awal itu, outlet restoran pertama dibuka di Sungai Besar, diikuti Cyberjaya dan seterusnya berkembang ke pelbagai lokasi. Hari ini, Ahmad’s berdiri megah dengan 44 outlet beroperasi di seluruh Malaysia, dan dijangka mencecah 78 outlet menjelang hujung 2025, termasuk di Sabah dan Sarawak. Angka ini jauh melepasi sasaran awal syarikat iaitu 60 outlet.

Bagi Puan Lailatul, perkembangan pesat Ahmad’s bukanlah jalan yang mudah, namun sokongan rakyat Malaysia menjadi kunci kekuatan mereka.
“Kalau tiada sokongan orang ramai, Ahmad’s tidak akan sejauh ini. Alhamdulillah, Allah mudahkan usaha kami. Dari hanya target 60 outlet tahun ini, kami sudah hampir cecah 78, walaupun sebahagiannya masih dalam proses renovasi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa maklum balas pelanggan sentiasa diberi perhatian kerana Ahmad’s mahu kekal dekat di hati rakyat Malaysia, bukan sekadar sebuah jenama makanan segera.

Walaupun kini semakin dikenali, Ahmad’s masih melalui beberapa proses penting dari segi perniagaan. Antaranya ialah permohonan lesen francais, yang hanya boleh dipohon selepas syarikat beroperasi tiga tahun. Ahmad’s sudah bersedia untuk membuka peluang francais pada masa depan dengan kos permulaan sekitar RM990,000 bagi sebuah outlet.

Selain itu, syarikat juga dalam proses mendapatkan persijilan halal.
“Proses halal bukan mudah, tetapi kami sedang susun piawaian di central kitchen dan training centre mengikut standard yang ditetapkan. Kami juga berharap mendapat sokongan lebih besar daripada agensi kerajaan agar Ahmad’s boleh pergi lebih jauh,” jelas Puan Lailatul.

Salah satu kekuatan Ahmad’s ialah pendekatan sistematik melalui central kitchen dan training centre. Langkah ini memastikan kualiti makanan dan perkhidmatan pelanggan sentiasa konsisten di semua outlet.
“Setiap rakan niaga akan melalui latihan intensif di pusat latihan kami. Selepas itu barulah mereka menguruskan outlet masing-masing. Inilah cara kami pastikan standard makanan dan layanan kekal konsisten,” tambah Puan Lailatul.

Kini Ahmad’s menawarkan lebih daripada 24 menu bercita rasa Malaysia  daripada ayam goreng, burger, nugget, hingga hidangan sampingan untuk seisi keluarga. Antara menu terbaru ialah Burger Sate, gabungan moden dan tradisi yang memberi pengalaman unik.

Pak Nil yang turut mencuba menu itu memberi pujian tinggi:
“Burger Sate ini satu inovasi yang bagus. Rasanya unik, lengkap dengan kuah kacang yang sedap. Ia bukan sekadar burger, tapi pengalaman makan sate dalam bentuk moden. Malah, saya percaya ia boleh jadi kegemaran semua kaum termasuk pelancong dari Indonesia.”

Bagi pengasas, kejayaan Ahmad’s tidak akan berhenti di Malaysia.
“Insya-Allah, tahun depan kami akan cuba buka outlet di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat dan Mekah. Misi kami jelas – menjadikan Ahmad’s simbol rasa, tradisi, dan kebersamaan rakyat Malaysia, bukan sahaja di tanah air tetapi juga di pentas global,” kata Encik Taufik Khairuddin penuh semangat.

Lebih daripada sekadar makanan segera, Ahmad’s mahu setiap outlet menjadi pusat komuniti dan lambang perpaduan rakyat. Suasana mesra pelanggan, layanan krew yang cekap, serta menu bercita rasa tempatan menjadikan Ahmad’s pilihan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

“Saya nampak Ahmad’s bukan sekadar jenama makanan segera. Ia ada roh Malaysia. Kalau sekarang sudah 44 outlet, dan hampir 78 dalam perancangan, saya yakin ini adalah perniagaan yang akan membuka mata ramai  satu pilihan tempatan yang boleh berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa.” Ujar Pak nil penutup kata.

Ahmad’s Fried Chicken – Rasa Warisan, Cita Rasa Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat