KUALA LUMPUR – Insiden menyerang sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman adalah satu tindakan keji, tidak bertamadun dan sama sekali tidak boleh diterima, tegas Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan dan telah mengarahkan pihak berkuasa segera bertindak membawa pelaku ke muka pengadilan.
Jelas Menteri KDN itu, kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat berhimpun secara aman seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan ini tidak boleh disalah guna.
“Malaysia adalah negara berdaulat yang tertakluk kepada undang-undang; setiap warga mesti menghormati prinsip ini dan mengelakkan sebarang tindakan yang bercanggah dengan peraturan negara.
“Tiada kompromi terhadap pihak yang menyalahgunakan hak berhimpun untuk kepentingan politik sempit, mencetuskan huru-hara atau menyemai kebencian melalui maklumat palsu,” katanya.
Saifuddin mengingatkan, keselamatan rakyat, keamanan negara dan integriti pasukan keselamatan adalah keutamaan yang wajib dipertahankan.



