KUALA LUMPUR, – Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohammad menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semakin kukuh selepas Perhimpunan Agung Tahunan semalam, meskipun ada pihak cuba menggambarkan parti itu sedang berpecah.
Menurutnya, kenyataan Pengarah Strategik DAP, YB Liew Chin Tong yang membayangkan pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin merosot dalam parti tidak menggambarkan realiti sebenar.
“Mana ada parti politik yang tidak ada masalah. Pergeseran itu perkara biasa, umpama pertelingkahan adik-beradik,” katanya.
Beliau merujuk ucapan penggulungan Naib Presiden BERSATU, YB Datuk Dr Radzi Jidin yang menyebut “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula parti politik.”
Marzuki berkata, Tan Sri Muhyiddin telah menunjukkan kepimpinan sebagai “Abah” dalam mendamaikan perbezaan dalaman.
“Semalam beliau meninggikan suara, sesuatu yang jarang-jarang beliau lakukan. Tetapi hasilnya jelas, semua pemimpin menekankan soal perpaduan. Ucapan Presiden dan Timbalan Presiden yang disambut dengan standing ovation sepatutnya mematikan segala cakap-cakap mengenai perpecahan,” tegasnya.
Beliau menambah, hanya musuh politik yang mahu melihat BERSATU berpecah kerana itu sahaja cara untuk mereka kekal berkuasa.
Dalam masa sama, Marzuki turut membandingkan keadaan dalam DAP yang menurutnya juga bergelut dengan perseteruan dalaman.
“Sudah jadi rahsia umum pertembungan kem Lim Guan Eng dan kem Chow Kon Yeow di Pulau Pinang. Bezanya, DAP tiada ‘Abah’. Lim Kit Siang sudah hilang taring, dan hakikatnya pengaruh Dinasti Lim berada di ambang senja,” katanya.



