KUALA LUMPUR – Secara keseluruhannya, pelaksanaan penyasaran subsidi tidak memberi kesan yang ketara terhadap kadar inflasi.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi merupakan langkah strategik Kerajaan Madani untuk memastikan pengagihan subsidi lebih bersasar kepada hanya golongan yang layak serta mengurangkan ketirisan bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam.
Jelas beliau, langkah ini telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2023 melibatkan bahan api, seperti diesel dan elektrik serta air.
“Penyasaran ini penting bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara, mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan serta membolehkan hasil penjimatan diagihkan semula secara lebih berkesan bagi menyokong pembangunan ekonomi rakyat, termasuk memperluas akses kepada bantuan dan kemudahan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding yang bertanya apakah apakah penilaian terperinci berkenaan dengan impak sebenar rasionalisasi subsidi ke atas Indeks Harga Pengguna (IHP) dan pendapatan isi rumah sebenar bagi golongan M40 dan B40 sejak rasionalisasi tersebut diimplementasikan dan apakah langkah
mitigasi khusus atau yang boleh diukur yang disediakan untuk suku ketiga dan keempat.
Amir Hamzah menambah, sebulan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, iaitu bermula 10 Jun 2024, Indeks Harga Pengguna (IHP) masih kekal terkawal dengan tiada peningkatan dicatatkan pada Julai 2024, iaitu 2.0 peratus sama seperti Mei 2024.
“IHP Pengangkutan juga hanya mencatatkan peningkatan secara marginal kepada 1.2 peratus (Mei 2024: 0.9 peratus), manakala IHP Makanan menurun kepada 1.6 peratus (Mei 2024: 1.8 peratus).
“Langkah mitigasi awal yang diambil oleh kerajaan telah membantu dalam memastikan pengguna kenderaan diesel tidak mengalami kesan ketara. Harga diesel telah dikekalkan pada kadar RM2.15 seliter kepada pelbagai kenderaan logistik termasuk lori kargo am, lori luton/kotak, lori tangki air, window van dan panel van melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.
“Harga diesel turut diselaras bagi kenderaan pengangkutan awam darat seperti bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba pada kadar RM1.88 seliter. Di samping itu, Program Budi Madani yang diperkenalkan pada Mei 2024 turut membantu mengimbangi kesan penyasaran subsidi diesel, khususnya kepada kumpulan B40, M40 serta
golongan mudah terjejas,” ujarnya.
Manakala bagi tahun 2025, Amir Hamzah memberitahu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah segera bagi membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup,
terutamanya golongan B40, M40 dan mudah terjejas.
Katanya, inisiatif yang diambil, antaranya termasuk pemberian bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Selain itu, inisiatif jangka pendek yang diambil termasuk sumbangan tunai one-off sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 dengan harga RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia yang layak serta penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya utama.
“Di samping itu, program-program intervensi harga dan bantuan rakyat turut diperkukuh. Program ini, antaranya meliputi Jualan Rahmah Madani dengan peruntukan RM600 juta yang dilaksanakan di 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), inisiatif Payung Rahmah bernilai RM300 juta, serta program kawalan harga barangan asas berjumlah RM700 juta.
“Kerajaan juga melaksanakan inisiatif penyeragaman harga di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan peruntukan RM40 juta,” kata beliau.
Dalam pada itu Amir Hamzah berkata, kerajaan akan sentiasa memantau harga barangan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan tanpa sebab yang munasabah.
“Kesemua langkah ini digerakkan secara bersepadu bagi memastikan harga barangan kekal terkawal dan tidak memberi kesan ketara kepada rakyat, terutama golongan B40, M40 dan kumpulan mudah terjejas,” ujarnya.



