BN Sabah Akan Tubuh Dana Kemakmuran Rakyat – Bung Moktar:

KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengumumkan Barisan Nasional (BN) Sabah akan menubuhkan Dana Kemakmuran Rakyat (DKR) sebagai sebahagian daripada tawaran utama Rancangan Pembangunan Sabah 1 (RPS1) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, dana khas itu bertujuan memastikan hasil kekayaan negeri dapat dikongsi secara langsung dengan rakyat, sekali gus menjamin kebajikan masyarakat di semua lapisan.

“Di Malaysia tidak ada lagi yang wujudkan dana kemakmuran rakyat ini. Sarawak baru mula. Kita akan wujudkan supaya nasib rakyat Sabah terbela,” katanya dalam podcast Jam Kesebelas11 terbitan portal Suara.TV isnin lalu.

Bung menegaskan Sabah kaya dengan sumber semula jadi, tetapi rakyat masih berdepan masalah kemiskinan, infrastruktur daif serta kekurangan peluang ekonomi.

Beliau mendakwa kelemahan pentadbiran kerajaan sedia ada menyebabkan hasil negeri tidak diurus dengan telus, hingga rakyat terus ketinggalan.

“Sabah ini negeri terkaya antara negeri-negeri Malaysia, malah lebih kaya dari Sarawak. Tapi pengurusan tidak bijaksana. Sebab itu kita perlu dana ini supaya kekayaan negeri tidak hanya jatuh kepada segelintir, tetapi kembali kepada rakyat,” katanya.

Bung turut memberi jaminan BN Sabah akan menamatkan status lapan daerah termiskin di negara ini dalam tempoh tiga tahun melalui pelaksanaan DKR bersama projek-projek pembangunan asas di bawah RPS1.

“Air bersih, elektrik stabil, jalan raya baik – ini asas yang mesti selesai. Dengan dana kemakmuran rakyat, kita pastikan rakyat Sabah tidak lagi tercicir,” katanya.

Bung berkata, DKR akan menjadi model baharu kerana sehingga kini tiada negeri lain di Malaysia melaksanakan mekanisme seumpamanya, kecuali Sarawak yang baru memulakan inisiatif serupa.

“BN Sabah mahu menjadi perintis. Kalau Sarawak boleh mulakan, kenapa Sabah tidak boleh lebih ke depan?” soalnya.

BN Sabah dijangka bertanding sekitar 40 kerusi pada PRN ke-17 menggunakan logo dacing, manakala PH sebagai rakan gabungan bertanding dengan logo masing-masing.

Bung optimis dengan tawaran konkrit seperti DKR, BN Sabah mampu kembali dominan dalam politik negeri.

“Ini bukan manifesto kosong. Ini rancangan jangka panjang yang lebih konkrit. Rakyat mahu perubahan yang nyata, bukan retorik,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat