JBK, AKPS jalin kerjasama strategik, perkukuh penguatkuasaan Akta Biokeselamatan 2007

Oleh Zihan Zari

SHAH ALAM – Jabatan Biokeselamatan (JBK), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menjalin kerjasama strategik bersama Agensi Kawalan & Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan Akta Biokeselamatan 2007.

JBK dalam kenyataannya berkata kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh kawalan terhadap Organisma Yang Diubahsuai Secara Genetik (GMO) di pintu masuk negara, malah mampu meningkatkan latihan pegawai, memperbaiki perkongsian data serta memastikan prosedur yang lebih bersepadu.

Pertukaran dokumen kerjasama strategik kedua-dua belah pihak telah dilaksanakan oleh Ketua Pengarah Biokeselamatan JBK, Lornie Enggong, manakala AKPS diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarahnya, Ismail Mokhtar, disaksikan oleh Timbalan Menteri NRES, Dato’ Sri Huang Tiong Sii di Hotel DoubleTree by Hilton dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha NRES , Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim; Timbalan Ketua Setiausaha NRES (Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang dan Timbalan Ketua Setiausaha NRES (Sumber Asli), Norsham Abdul Latip.

Terdahulu, Tiong Sii, berkata di bawah Akta Biokeselamatan 2007, sebarang aktiviti melibatkan GMO tidak dibenarkan tanpa penilaian risiko yang ketat bagi melindungi lima matlamat utama iaitu kesihatan manusia, kesihatan tumbuhan, kesihatan haiwan, alam sekitar serta kepelbagaian biologi.

“Pendekatan ini selaras dengan Protokol Cartagena mengenai Biokeselamatan sejak tahun 2003.

“Skop perundangan kita adalah menyeluruh dengan merangkumi aktiviti yang dijalankan dalam keadaan terkawal di makmal dan fasiliti pengeluaran melibatkan GMO, ujian lapangan, import dan eksport GMO, pelepasan produk untuk dipasarkan, serta pemantauan dan penilaian terhadap semua aktiviti ini di seluruh Malaysia, ”katanya.

Beliau menegaskan peranan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam aspek biokeselamatan, seiring usaha ASEAN mencapai pembangunan mampan dan masa depan yang lebih selamat.

Bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia, JBK turut menganjurkan Majlis Simposium Biokeselamatan 2025 bertemakan “Memperkasakan Biokeselamatan untuk Kelestarian Masa Hadapan”

Simposium ini menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman, malah mengukuhkan komitmen Malaysia dalam memastikan biokeselamatan terus diperkasa untuk melindungi biodiversiti, menjamin keselamatan makanan, serta menjaga kesihatan awam.

Pakar Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan United Kingdom, yang berkongsi pendekatan kawal selia, inovasi tempatan, serta inisiatif libat urus awam dalam bidang biokeselamatan telah dibentangkan dalam simposium ini.

Pada sebelah petangnya, berlangsung Sesi Dialog bertajuk “With Great Technology Comes Great Responsibility: Genetically Modified Food from Farm to Plate”.

Sesi ini menampilkan pakar serantau dan global, antaranya daripada CropLife Asia, Lembaga Biokeselamatan Negara, dan Pertubuhan Makanan & Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), yang membincangkan aspek keselamatan makanan, rantaian bekalan GMO global serta hak awam dalam proses membuat keputusan.

Penganjuran simposium ini bukan sahaja menyediakan platform rangkaian kerjasama dalam kalangan agensi Kerajaan, pemain industri, akademia, penyelidik dan Badan Bukan Kerajaan, malahan dapat meningkatkan kesedaran awam dalam kalangan rakyat sendiri ke arah melestarikan persekitaran yang selamat.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat