KOTA KINABALU, – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak menegaskan bahawa rakyat tidak boleh dilabel sebagai pengkhianat hanya kerana membuat pilihan parti yang berbeza.
Beliau berkata, keputusan rakyat untuk memilih sama ada parti tempatan atau parti nasional adalah hak demokratik yang wajar dihormati dalam amalan politik sihat.
“Ada yang pilih parti tempatan, ada yang pilih parti nasional. Itu hak rakyat Sabah, bukan kesilapan. Jangan cepat menuduh orang lain salah atau pengkhianat,” katanya.
Salleh dalam kenyataannya turut menolak budaya politik ekstrem yang menjadikan lawan sebagai musuh untuk ditundukkan. Menurut beliau, politik sepatutnya berlandaskan gagasan membangunkan Sabah dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukannya politik maki hamun dan cercaan.
“Politik bukan soal bunuh atau dibunuh. Persaingan mesti sihat, berasaskan idea membangunkan Sabah dalam semangat MA63 — bukan politik maki hamun atau tidak beradab,” tegasnya.
Jelas beliau lagi, hanya melalui kerjasama walaupun berbeza pandangan, perpaduan dan kestabilan dapat dicapai. Katanya, kedua-dua faktor itu merupakan prasyarat penting untuk memastikan Sabah benar-benar maju.
“Yang penting, kita belajar bekerjasama walau berbeza. Perpaduan dan kestabilan mesti sentiasa diutamakan — kerana hanya dengan itu Sabah benar-benar akan maju,” ujarnya.
Pandangan Salleh hadir ketika landskap politik Sabah kembali menjadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri, dengan parti-parti tempatan dan nasional sedang menilai strategi masing-masing.-Suara.TV



