KUALA LUMPUR, – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan semangat patriotisme perlu sentiasa dipupuk dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, agar kecintaan terhadap tanah air terus subur dan tidak dicemari dengan tindakan yang boleh merosakkan negara.
“Anak-anak muda mesti menyatu padu dan sentiasa mengingati hari kemerdekaan. Dengan itu, kita dapat menanamkan semangat cintakan negara dalam hati mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika hadir ke Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang 2025 di Alam Damai yang berlangsung penuh semangat patriotik.
Mengulas isu pengibaran bendera terbalik yang kembali tular kebelakangan ini, Musa menegaskan Jalur Gemilang wajib dihormati kerana ia melambangkan pengorbanan besar pejuang terdahulu yang bermandi darah demi memperoleh kemerdekaan.
“Bendera kita berkibar bukan kerana angin, tetapi kerana pengorbanan askar, tentera dan polis yang berjuang sehingga negara merdeka dan boleh diperintah sendiri. Jadi, masyarakat perlu menghormati bendera ini dan jangan mengibarkannya secara terbalik,” ujarnya.
Menurutnya lagi, alasan mengibarkan bendera terbalik sebagai tanda protes terhadap kerajaan tidak boleh diterima kerana ia mencerminkan ketiadaan semangat patriotisme.
“Bagi saya, mereka yang memasang bendera terbalik ini tidak ada semangat patriotisme terhadap negara. Mereka ini adalah pengkhianat negara,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Musa menyeru agar tindakan tegas diambil terhadap individu yang menghina Jalur Gemilang, memandangkan undang-undang sedia ada jelas memperuntukkan larangan terhadap perbuatan tersebut.
“Dalam undang-undang, kita ada peraturan berhubung penghinaan terhadap bendera. Mereka boleh diambil tindakan. Saya harap rakyat kita benar-benar menyemai semangat kemerdekaan dan menjaga maruah negara,” katanya.
Majlis yang berlangsung dari 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) JPJKK PDRM, YBhg. DCP Dato’ Azman Ayob. Turut hadir, Datuk Kamaruddin Jaffar, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan, serta wakil agama dan komuniti setempat.
Lebih 300 hadirin termasuk ahli kariah, pelajar sekolah dan NGO tempatan membanjiri perkarangan masjid bagi menyertai pelbagai aktiviti seperti upacara menaikkan Jalur Gemilang, persembahan patriotik, dialog komuniti bersama IPD Cheras dan MCCC, serta ucapan motivasi daripada tetamu kehormat.



