KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025, menandakan langkah penting kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata RUU ini memberikan pengiktirafan undang-undang kepada lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor gig, termasuk p-hailing, e-hailing, freelancer digital dan pelbagai perkhidmatan atas talian.
Menurutnya RUU ini juga membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pekerja gig mendapat perlindungan sosial yang sewajarnya.
“Syukur Alhamdulillah, pada hari ini kita telah menyaksikan satu detik bersejarah apabila Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 berjaya diluluskan di Dewan Rakyat. Kelulusan ini menandakan komitmen Kerajaan untuk memastikan lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam ekonomi gig mendapat perlindungan sewajarnya.
“RUU ini adalah manifestasi jelas bahawa Kerajaan tidak mahu membiarkan pekerja gig terus berada di pinggiran tanpa perlindungan sosial dan hak yang sah. Dengan kelulusan ini, pekerja gig akan diiktiraf kedudukannya di sisi undang-undang dan dilindungi dengan jaminan sosial yang lebih sistematik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya RUU ini juga akan mengiktiraf pekerja gig sebagai nadi baharu ekonomi negara, di tengah pertumbuhan pesat sektor digital.
“Industri gig bukan lagi fenomena sementara, sebaliknya telah menjadi nadi penting ekonomi negara.
“Dengan RUU ini, pekerja gig kini mempunyai kedudukan yang sah dan hak yang terjamin, sekaligus mengiktiraf sumbangan mereka terhadap pembangunan negara,” katanya.
Tambahnya sebagai langkah pelaksanaan, kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia, menyelaras dan memantau perkembangan sektor gig secara khusus.
Zahid berkata, suruhanjaya ini dijangka menjadi pemangkin kepada keseluruhan ekosistem ekonomi perkongsian, melibatkan pembekal, penyedia platform, pekerja gig, pengguna dan pemacu pertumbuhan ekonomi digital negara.
“Penubuhan SEGiM akan memastikan pembangunan ekonomi perkongsian ini lebih terurus dan berkesan.”
“Ia juga akan memastikan semua pihak yang terlibat mendapat manfaat seimbang daripada pertumbuhan ekonomi gig,” ujarnya.
Kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas dedikasi mereka dalam merangka RUU ini.
“KESUMA telah memainkan peranan penting dalam menjayakan RUU ini, dan saya menghargai usaha mereka yang gigih.
“Langkah ini jelas membuktikan kerajaan sentiasa komited memastikan kesejahteraan rakyat tidak terabai, terutamanya golongan pekerja gig yang sebelum ini kurang diberi perhatian,” tambahnya.
Dengan kelulusan ini, pekerja gig di Malaysia kini diiktiraf secara sah, dilindungi dengan jaminan sosial dan mendapat sokongan penuh kerajaan melalui SEGiM.



