Menteri KPKT dibimbangi miliki ‘kuasa mutlak dan luas’ jika RUU URA dilaksana – Persatuan Pembeli Rumah

KUALA LUMPUR – Persatuan Pembeli Rumah (HBA) menyuarakan kebimbangan kuasa besar yang diberikan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (URA), dan beri amaran ia boleh membuka ruang kepada pilih kasih dan salah guna kuasa.

Setiausaha Agung HBA Datuk Chang Kim Loong berkata, RUU itu dalam bentuk semasa memberikan ‘kuasa mutlak dan luas’ kepada menteri.

Di bawah cadangan undang-undang itu, Menteri KPKT Nga Kor Ming akan mempengerusikan jawatankuasa eksekutif persekutuan (FEC) yang bertanggungjawab menyelia projek pembangunan semula bandar di seluruh negara.

Kim Loong membangkitkan beberapa peruntukan dalam RUU berkenaan, termasuk Seksyen 5 yang meletakkan penjawat awam di bawah kawalan menteri sebagai pengerusi FEC.

Seksyen 13 pula menetapkan jawatankuasa eksekutif negeri perlu berunding dengan FEC mengenai projek pembaharuan bandar, manakala Seksyen 20 memberi kuasa kepada FEC yang diketuai menteri untuk menentukan pemaju mana yang layak melaksanakan projek tersebut.

“Ia seolah-olah membenarkan menteri menguasai keseluruhan kerangka kerja URA.

“Dengan kuasa sebesar ini, wujud kemungkinan berlakunya pilih kasih dan kuasa tanpa kawalan yang boleh menyuburkan rasuah. Kuasa mutlak pasti membawa kepada kerosakan,” lapor FMT, sambil menegaskan perlunya semak dan imbang yang lebih meluas.

RUU itu, yang dijadual dibaca kali kedua dan ketiga di Parlimen pada Rabu, turut menerima kritikan daripada kumpulan masyarakat sivil dan persatuan penduduk.

Pada sidang media sebelum itu, Chang turut mempersoalkan mengapa menteri perlu diberikan kawalan begitu luas ke atas pembangunan semula perumahan, dan berkata ia merendahkan kuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Kalau diteliti undang-undang itu, menteri memegang semua kad. Malah jawatankuasa ekonomi negeri pun mesti merujuk kepadanya untuk sebarang pembangunan semula. Mengapa kita perlu beri kuasa sebegitu kepada seorang individu?” katanya, sambil menggesa RUU itu ditarik balik.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat