Kerajaan Kelantan siasat hebahan mahu jual kawasan lombong emas RM12 juta

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Kelantan sedang menyiasat hebahan berkaitan kawasan lombong emas seluas 251 hektar yang mahu dijual dengan harga RM12 juta.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata hebahan yang dibuat individu di Facebook itu membabitkan kawasan di Mukim Kusial, Tanah Merah.

“Berdasarkan semakan membabitkan lokasi hebahan untuk dijual itu, kawasan berkenaan diberi pajakan kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama syarikat Sri Damai Mine Trading.

“Pajakan melombong itu masih berkuat kuasa hingga 22 Disember 2025. Namun hingga kini penerima pajakan masih belum menjalankan aktiviti perlombongan emas di kawasan berkenaan.

“Pada 17 November 2024, pemohon sudah mengemukakan permohonan pembaharuan ketiga pajakan melombong (Borang 8B) kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan PTG sudah memaklumkan kepada pemohon agar mengemukakan laporan pembaharuan, laporan berkala serta bayaran permohonan pembaharuan berjumlah RM2,000.

“Hingga kini pemohon masih lagi belum mengemukakan dokumen serta bayaran berkenaan dan kawasan pajakan melombong ini sudah diwartakan keluar daripada kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) untuk dimajukan sebagai kawasan pajakan melombong di bawah Seksyen 63 Enakmen,” lapor BH di Kota Bharu pada Selasa.

Terdahulu, seorang individu membuat hebahan di Facebook yang memaklumkan kawasan lombong emas seluas 251 hektar untuk dijual dengan harga RM12 juta.

Mereka mencari pembeli yang berminat membabitkan kawasan Soko Taku Mukim Kusial sambil memaklumkan tarikh tamat tempoh melombong adalah Disember 2025.

Menerusi hebahan berkenaan turut memaklumkan mereka mempunyai lesen penerokaan (PL) dan lesen berkenaan tamat pada Disember tahun ini, namun boleh diperbaharui.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, kawasan berkenaan adalah dimiliki oleh PKINK dan pihaknya sedang menyiasat individu berkenaan membuat hebahan berkenaan.

“Kita tidak tahu siapa yang mahu menjualnya. Individu berkenaan mahu menjadi orang tengah bagi pihak siapa?

“Adakah dia ada kuasa untuk menjual dan kita juga perlu merujuk kepada perjanjian memandangkan pajakan itu sehingga 24 Disember ini, belum tentu akan disambung,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat