KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyampaikan berita gembira kepada 1.2 juta pekerja gig dengan hasil tambah baik Rang Undang-Undanng (RUU) Khas untuk pekerja gig.
Anak Perdana Menteri itu memberitahu, beberapa bulan lepas beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia (Kesuma) Steven Sim berbincang perihal (RUU) khas untuk pekerja gig.
“Undang-undang sebegini yang dibincang hebat oleh Kerajaan Negeri Telangana di India, menyamakan sistem gig dengan sistem perhambaan moden.
“Steven mahu meluluskan RUU pekerja ekonomi gig Malaysia secepat mungkin dan meminta kerjasama saya, termasuk persatuan dan juga pihak lainnya supaya impian ini boleh menjadi kenyataan.
“Pekerja gig ada maruah, ada masa depan. Mereka perlu dibela supaya masyarakat tidak lagi menganggap mereka ini macam tin kosong. Ini adalah permulaan kepada usaha untuk mengiktiraf 1.2 juta pekerja gig dalam undang-undang perburuhan negara,” katanya.
Menurut Izzah, semasa menjadi wakil rakyat terdahulu, isu pembelaan pekerja gig adalah isu yang telah diperjuangkan bersama.
“Jadi kali ini, amat bermakna buat saya teruskan perjuangan ini bersama Steven. Steven telah mengadakan tidak kurang lebih 4 ribu libat urus , sebab ada tangan-tangan gelap yang cuba gagalkan usaha ini.
“Tak ingat ke masa zaman COVID-19 dulu? Pekerja gig lah yang menjadi barisan hadapan menjaga kita semua. Merekalah yang bergerak siang malam dan meredah hujan panas semata-mata untuk pastikan ada makanan di atas meja kita.
“Kalau bukan kerana mereka, mesti banyak bisnes F&B dah gulung tikar. Kita pun mungkin akan bergelut untuk survive pada detik hitam ini. Kami sampai turun padang buat kerja undercover . Kami ambil beberapa Grab di sekitar Lembah Klang untuk ke lokasi-lokasi tertentu.
“Kami mendengar luahan hati mereka. Satu demi satu masalah keluar daripada mulut mereka dan kami cuba fahamkan dan cari jalan keluar,” dedah Izzah.
Antara masalah yang dikongsikan pekerja gig kepada beliau ialah “kawan saya kemalangan, kereta boleh claim. Tapi dia masuk hospital, 5 bulan tak boleh kerja, tak ada satu sen pun pampasan. Anak bini dia kat rumah nak makan apa?”
“Saya rasa sebak mendengarnya. Steven cukup faham bahawa ramai driver dan rider hidup cukup-cukup makan, nak beli insurans pun tak mampu. Sebab tu dalam RUU ni Steven letak syarat wajib semua pekerja gig dilindungi Perkeso. Tiada pengecualian.
““Ada customer yang suka buat report yang bukan bukan, tak munasabah dan sengaja bagi rating rendah. Bila dah banyak kali kena, rating saya jatuh, akaun pulak kena gantung. Lepas tu langsung tak ada cara untuk buat rayuan. Habis tu siapa nak sara keluarga saya? Kami ni orang biasa, mana boleh nak nak lawan syarikat besar.”
“Masalah ini memang serius. Dulu saya pernah cadang untuk tubuhkan tribunal khas untuk pekerja gig. Apa-apa masalah boleh terus dibawa ke tribunal. Kalau syarikat-syarikat besar ni degil, kita kenakan denda yang berat. Pekerja gig langsung tak ada kuasa untuk runding harga, semuanya 100 peratus ikut telunjuk syarikat”.
“Saya cadang, kena ada satu majlis khas supaya kerajaan, syarikat dan wakil pekerja gig boleh duduk semeja dan berbincang cari jalan penyelesaian. Barulah mereka ni ada suara, ada kuasa, bukan terus dipijak mentah-mentah.
“Syukur Alhamdulillah, akhirnya menteri setuju masukkan poin penting sebegini ke dalam RUU,” ujar Izzah lagi.



