KUALA LUMPUR, – Ekspo Teknologi Jalan & Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 bakal berlangsung dari 3 hingga 5 November di MITEC, Kuala Lumpur, sebagai platform inovasi terbesar rantau ini untuk industri jalan raya, lebuhraya, trafik dan teknologi pengangkutan.
Dianjurkan buat pertama kali oleh Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), acara berprestij ini dijangka menghimpunkan penggubal dasar, peneraju industri, penyelidik dan inovator seluruh ASEAN.
Bertemakan masa depan mobiliti pintar, My-ARTTE 2025 memberi fokus kepada AI, Big Data, sistem pengangkutan pintar (ITS), keselamatan jalan raya, teknologi terowong & jambatan, serta mobiliti bandar pintar.
Lebih menarik, Konvensyen Penyenggara Jalan Raya Malaysia (MRMC) turut dianjurkan serentak, menjadikan acara ini wadah utama untuk perbincangan dasar, perkongsian teknologi, serta pameran penyelesaian terkini bagi infrastruktur dan penyelenggaraan jalan raya.
Dengan sokongan penuh kerajaan melalui KKR dan JKR, My-ARTTE 2025 diyakini menjadi acara rangkaian dan pembelajaran terulung, sekali gus memacu agenda pembangunan pengangkutan lebih selamat, mampan dan moden di Malaysia serta ASEAN.



