PRN Sabah: Warisan Pilih Solo, Tolak Kerjasama Dengan PN & GRS

CYBERJAYA : Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik termasuk Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata parti itu akan bertanding secara solo di 73 kerusi, sekali gus menolak spekulasi bahawa wujud rundingan pintu belakang dengan PN atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Tiada rundingan, perbincangan atau rancangan kerjasama dengan PN, GRS mahupun mana-mana gabungan politik lain mengenai kerjasama pilihan raya. Sebarang cadangan atau spekulasi perikatan pintu belakang adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan kedudukan rasmi Warisan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Azis berkata, Warisan yakin rakyat Sabah akan terus memberikan sokongan atas kekuatan parti itu sendiri untuk menawarkan masa depan lebih baik, adil, dan makmur.

Menurutnya, satu-satunya pakatan yang dimeterai Warisan ketika ini adalah bersama rakyat Sabah.

Beliau menegaskan fokus utama Warisan ialah menyelesaikan isu kos sara hidup, kekurangan infrastruktur, bekalan elektrik dan air yang tidak stabil, peluang pekerjaan yang terhad serta menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Warisan memilih untuk kekal konsisten, berprinsip, dan telus. Hala tuju kami jelas – bertanding solo dan menyediakan sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat Sabah berbanding kepentingan politik,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Warisan menghadapi PRN Sabah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat