Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan orang ramai tidak perlu bimbang untuk mengibarkan Jalur Gemilang, meskipun ada insiden bendera dipasang terbalik berlaku baru-baru ini.
Menurut beliau, jika siasatan mendapati kesilapan berlaku tanpa disengajakan, isu tersebut tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menimbulkan rasa takut.
“Dalam proses siasatan, kita akan tentukan sama ada kesilapan itu disengajakan dengan niat untuk mempersenda ataupun dengan niat yang jelas tidak menunjukkan sifat patriotisme, niat untuk wujudkan satu suasana yang timbul keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Kalau siasatan membuktikan perkara itu maka tindakan yang diambil adalah mengikut undang-undang tapi jika hasil siasatan mendapati ia tidak disengajakan atau khilaf, tentulah kita tidak mahu perkara itu diperbesar,” katanya ketika menghadiri Program Sua Mesra KDN.
Saifuddin menekankan bahawa mengibarkan bendera negara adalah simbol semangat kemerdekaan dan patriotisme, khususnya di bulan kebangsaan, dan ia harus terus dipupuk dalam kalangan rakyat.



