Harga minyak akan turun 6sen Sept ini, adakah harga barang juga turun? – Rafizi

KUALA LUMPUR – Harga minyak akan turun bermula September ini dan lazimnya jika harga barang selalunya akan naik serta merta apabila ada kenaikan harga barang asas, bahan api seperti minyak dan utiliti seperti elektrik.

Namun, adakah harga barang akan turun apabila harga minyak turun 6 sen bermula September ini? soal Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bekas Menteri Ekonomi itu bagaimanapun berkata, “susah nak cakap, tiada siapa yang tahu”.

“Kita hanya boleh melihat selepas beberapa bulan, iaitu menjelang akhir tahun ini. Selain dari faktor kos bahan mentah dan kos pengeluaran, harga dalam sistem pasaran terbuka dipengaruhi oleh banyak perkara. Salah satunya ialah persaingan.

“Apabila peniaga masing-masing telah menaikkan harga sebelum ini kerana peniaga lain pun menaikkan harga yang sama, jika kenaikan harga itu tidak menjejaskan permintaan dan pelanggan masih membeli, sukar untuk peniaga itu menurunkan harga.

“Kos barang mentah juga dipengaruhi harga sepanjang rantaian bekalan. Peniaga membeli dari pemborong, pemborong membeli dari pembekal pukal atau pengilang. Kecuali harga diturunkan dari pengilang iaitu kos di peringkat huluan, peniaga akan rasa sebarang penurunan harga minyak tidak membawa kesan kepadanya. Kos juga bergantung kepada kadar upah pekerja dan kos-kos lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, mengimbangi kenaikan harga memerlukan peranan semua pihak.

“Kerajaan bertanggungjawab memastikan tiada kenaikan mendadak harga bahan asas yang berterusan kerana bahan-bahan asas kebanyakannya adalah barang terkawal.

“Kerajaan juga bertanggungjawab memastikan undang-undang berupaya menyekat amalan mengambil untung berlebihan yang memanipulasi pengguna; dan undang-undang ini boleh dikuatkuasakan.

“Pengguna bertanggungjawab membeli barang dan perkhidmatan yang memberi nilai terbaik pada harga yang berpatutan. Peniaga yang memanipulasi pengguna dengan harga yang melampau wajar dihindari,” ujar beliau.

Namun semua ini menjadi sukar kerana kita masih belum mengamalkan ketelusan harga (atau price transparency) dalam amalan urus niaga harian, kata Rafizi.

Kata bekas Timbalan Presiden PKR itu lagi, prinsip ketelusan harga membolehkan pengguna menilai, sama ada dari perbandingan harga rujukan, atau dari analisa kos dan margin keuntungan untuk menentukan sama ada harga itu berpatutan atau tidak.

“Ketelusan harga ialah satu bidang dasar yang saya akan berikan tumpuan selepas ini, supaya Malaysia bergerak lebih cepat untuk menggalakkan amalan harga yang telus dalam ekonomi kita,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat