DAPSY jangan kacau kuasa PBT, Jalur Gemilang maruah negara – Ketua Whip MPPn

KUALA LUMPUR – Ketua Whip Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) Md Israk Abdullah mengingatkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) agar menghormati dan tidak mencampuri proses undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Israk yang juga Ketua Penerangan Umno Johor berkata, DAPSY sekali lagi menunjukkan wajah sebenar politik sempit mereka apabila mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengarahkan penutupan sebuah premis pergigian selama 30 hari kerana mengibarkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik.

Beliau membidas, kenyataan DAPSY ini bukan sahaja dangkal dari segi undang-undang, malah memperlekehkan institusi penguatkuasaan kerajaan tempatan dan prinsip rule of law yang menjadi asas demokrasi negara kita.

“Jangan campuri urusan pihak berwajib – tindakan MPPn adalah berlandaskan undang-undang kecil yang sah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Kuasa ini jelas termaktub dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak luar, apatah lagi parti politik yang cuba mencari modal murahan menjelang sambutan kemerdekaan negara.

“Campur tangan politik hanya akan melemahkan institusi penguatkuasaan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keadilan serta integriti pentadbiran kerajaan tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tegas Israk, Jalur Gemilang wajib dihormati.

“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain. Ia adalah lambang maruah, perpaduan dan kedaulatan negara. Mana-mana pihak yang mengambil ringan atau cuai dalam pemasangan bendera ini wajar dikenakan tindakan tanpa kompromi. Tindakan tegas MPPn menjadi peringatan kepada semua bahawa penghinaan atau kecuaian terhadap bendera negara tidak boleh dibiarkan berulang.

“Arahan penutupan premis selama 30 hari adalah bukti keseriusan PBT dalam melaksanakan amanah undang-undang serta menjaga kehormatan simbol negara. Jika tiada ketegasan, ia akan mewujudkan preseden buruk di mana kesalahan sebegini dianggap remeh, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak penghinaan terhadap Jalur Gemilang,” kata beliau.

“Tindakan ini juga membawa mesej pendidikan kepada generasi muda dan seluruh masyarakat bahawa menghormati Jalur Gemilang adalah tanggungjawab bersama. Patriotisme mesti dipupuk sejak kecil, bukan sekadar dengan ucapan, tetapi dengan penguatkuasaan yang jelas dan berkesan,” ujar Israk lagi.

Justeru sebagai Ketua Whip MPPn, beliau menegaskan – semua pihak mesti menghormati bidang kuasa PBT dan tidak mengganggu proses undang-undang.

“Rule of Law bermaksud undang-undang mengikat semua pihak tanpa pengecualian.

“Kesalahan melibatkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang mesti ditangani dengan tegas demi menjaga maruah negara.

“Dalam suasana kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-68, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama memelihara kedaulatan Jalur Gemilang. Janganlah kita gadaikan maruah negara hanya kerana permainan politik sempit yang tidak memberi manfaat kepada rakyat,” bidas Israk.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat