KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan tindakan tatatertib menanti pegawai penyiasat serta penyelia dalam siasatan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, sekiranya dikesan berlaku pelanggaran prosedur (SOP) ditetapkan.
Ketika ini, katanya siasatan untuk itu sudah pun dimulakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bersama pasukan khas yang ditubuhkan bagi kes berkenaan.
“Tindakan kita adalah menyiasat segala perkara yang ditetapkan mengikut lunas undang-undang dan SOP (prosedur operasi standard).
“Jika ada perkara bertentangan, kita akan ambil tindakan terhadap pegawai berkaitan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan kegagalan pegawai penyiasat memohon bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan SOP dalam kes kematian Zara Qairina.
Susulan itu, JIPS Bukit Aman mengambil keterangan Ketua Polis Daerah berpangkat Superintendan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
Kertas Siasatan Tatatertib dibuka berkaitan kes terbabit.
Mohd Khalid mengakui beberapa tindakan perlu dikaji dari sudut tatatertib dan beliau sendiri sudah meminta Pengarah JIPS untuk mengambil tindakan berdasarkan sejauh mana berlakunya perlanggaran.
“Seperti sedia maklum bahawa ada perkara sebenarnya sudah dilaksanakan… sebagai contoh ibu kepada si mati menandatangani kebenaran dan itu prosedur yang sentiasa kita laksanakan,” katanya memetik BH.
Mengenai siasatan dijalankan JIPS, beliau berkata ia akan menentukan tindakan seterusnya yang boleh diambil pihaknya mengikut undang-undang sedia ada.
“Jika ada berlaku beberapa kesilapan, itu perlu dikaji dari sudut tatatertib. Kita akan membuat perkara yang sepatutnya seperti mana ditetapkan oleh peraturan dan juga undang undang,” katanya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai.



