KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa saman fitnah RM150 juta yang difailkannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercepatkan supaya nama beliau dapat dibersihkan secepat mungkin.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu yang kini berusia 100 tahun berkata kes berkenaan sudah pun tertangguh terlalu lama.
“Sebenarnya, Anwar telah meminta penangguhan dua minggu dan saya setuju…. tetapi sekarang sudah dua tahun, dan perbicaraan hanya akan diadakan pada 21, 23 dan 29 Oktober.
“Saya tiada masalah dengan tarikh itu, tetapi jika boleh, saya mahu ia dipercepatkan.
“Saya sudah lama menunggu (perbicaraan). Saya sudah terlalu tua,” katanya pada sidang media selepas menghadiri prosiding pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Donald Joseph Franklin, lapor BH di Shah Alam pada Isnin,
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata meskipun bukan suatu kelaziman bagi plaintif hadir dalam prosiding pengurusan kes, beliau merasa perlu untuk datang ke mahkamah.
“Faktanya, pada saat akhir berlaku pertukaran pesuruhjaya kehakiman sebelum ini, yang dipindahkan ke tempat lain, dan pesuruhjaya kehakiman baharu yang akan mendengar kes ini masih baru dengan kes tersebut.
“Jadi saya kira beliau perlukan masa untuk meneliti kes,” katanya.
Terdahulu, Mahathir yang mengenakan sut kelabu dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sekitar jam 10.30 pagi dan memasuki kamar mahkamah jam 11.05 pagi.
Kawalan keselamatan ketat, dengan pintu masuk utama hanya dibuka kepada mereka yang mempunyai urusan mahkamah. Polis, termasuk unit pemusnah bom, dilihat melakukan pemeriksaan di dalam kamar sebelum prosiding bermula.
Sepanjang prosiding yang berlangsung kira-kira 20 minit, Mahathir duduk di barisan hadapan galeri awam bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, memohon mahkamah mengosongkan dua tarikh perbicaraan mulai esok serta mencadangkan tarikh baharu kerana masih ada isu yang belum diselesaikan dan dokumen tambahan belum diserahkan.
“Saya telah memfailkan permohonan untuk mempercepatkan perbicaraan dan saya mohon mahkamah mengambil kira faktor usia anak guam saya.
“Saya minta tarikh lebih awal. Jika boleh saya cadangkan, minggu terakhir September atau pertengahan Oktober,” katanya.
Peguam mewakili Anwar, Ranjit Singh, tidak membantah dan mengakui permohonan Mahathir wajar diberi perhatian memandangkan usianya.
Donald kemudian menetapkan 21, 23 dan 29 Oktober sebagai tarikh perbicaraan yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Antara lain, beliau memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan kenyataan saksi selewat-lewatnya 7 Oktober dan menetapkan 8 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes akhir.
Dalam samannya, Mahathir mendakwa Anwar mencemarkan reputasinya dengan menuduh beliau bersifat perkauman serta memperkayakan diri dan ahli keluarganya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
Beliau menuntut ganti rugi teladan RM100 juta dan ganti rugi am RM50 juta, selain permohonan maaf bertulis serta sidang media khas untuk Anwar memohon maaf atas kenyataan itu.



