Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuteraan di MMU bakal lahirkan pakar teknologi – Anwar

CYBERJAYA – Universiti dan institusi pengajian tinggi hanya ada satu pilihan, tiada pilihan kedua, iaitu perlu mengorak langkah proaktif dengan mewujudkan fakulti dan program khusus dalam bidang Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akui gembira Multimedia University (MMU) terus mendepani peranan berkenaan dengan menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE), yang merupakan transformasi daripada Fakulti Kejuruteraan yang sedia ada, iaa mencerminkan satu anjakan paradigma bahawa dunia telah berubah, dan kita tidak boleh kekal pada pendekatan lama.

“Fakulti sebegini menjadi teras dalam melahirkan pakar berkemahiran yang mampu memenuhi permintaan industri, dan memacu agenda penyelidikan serta inovasi negara.

“Syabas dan tahniah kepada Telekom Malaysia (TM) dan MMU kerana terus maju dan kukuh dalam komitmennya untuk menyediakan pendidikan tinggi berasaskan teknologi khususnya dalam bidang teknologi maklumat, komunikasi, multimedia dan digital kepada anak bangsa,” katanya ketika program Temu Anwar di MMU pada Isnin.

Kata Perdana Menteri lagi, AI bukan lagi satu konsep masa hadapan tetapi telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

“Ia akan terus membentuk cara kita bekerja, belajar, berinteraksi dan sebagainya. Justeru, adalah penting bagi rakyat dari segenap lapisan masyarakat di negara ini dari ceruk rantau mana sekalipun, harus sedar bahawa kita tidak boleh hanya sekadar menjadi pengguna atau penonton kepada transformasi teknologi baharu ini.

“Sebaliknya rakyat perlu memainkan peranan aktif untuk menggerakkan dan mengembangkan AI melalui kepakaran yang ada dalam institusi, syarikat atau organisasi tempatan.

“Inilah sebabnya saya berasa gembira apabila melihat pelbagai pihak seperti TM dan MMU, mempunyai komitmen jangka panjang dalam bidang ini. Sebagai contoh, Telekom Malaysia sendiri kini memiliki fasiliti AI seperti Pusat Data Keterhubungan (Hyperconnected Data Centre), dan GPU sebagai Perkhidmatan (GPU-as-a-Service).

“Ini jelas bagi saya, bahawa ia bukanlah sekadar pelaburan korporat, tetapi usaha pembinaan negara yang membentuk asas bagi penyertaan lebih meluas dalam ekonomi digital selain menyokong pembangunan tenaga mahir tempatan serta memajukan bidang inovasi dan digital negara,” ujar Menteri Kewangan itu.

Mengulas lanjut Anwar berkata, penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) membuktikan iltizam MMU dalam mendukung aspirasi Madani bagi memperkukuh pembangunan teknologi AI di negara ini selaras dengan keperluan semasa untuk melahirkan tenaga kerja yang memenuhi tuntutan industri masa kini dan masa hadapan.

“Bagi saya, transformasi Fakulti Kejuruteraan (FOE) kepada Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) mencerminkan pandangan jauh dan komitmen tinggi
untuk melahirkan bakat AI untuk masa depan. Ini sudah tentu penting bagi membina asas kukuh dalam pembangunan inovasi, penyelidikan, dan transformasi digital
negara.

“FAIE ini adalah istimewa kerana ia berbeza berbanding fakulti AI yang ditubuhkan di universiti-universiti lain. Seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi TM sebelum ini, keunikan FAIE terletak pada peranannya yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengajaran teori Kecerdasan Buatan, tetapi turut memberi penekanan kepada Kecerdasan Buatan Gunaan (Applied Artificial Intelligence) yang diajar secara praktikal. Inilah nilai tambah dan unik yang ditawarkan oleh FAIE.

“Dengan fokus ini, graduan bukan sekadar belajar teori dan algoritma AI, tetapi benar- benar bersedia mengaplikasikan kepakaran AI dari sudut teori dan praktikal untuk menyelesaikan masalah yang merentasi pelbagai sektor. Program Kecerdasan Buatan Gunaan diwujudkan bagi memenuhi permintaan semasa industri,” kata beliau.

Hari ini katanya, AI bukan lagi milik sektor teknologi sahaja, tetapi menjadi pemacu utama dalam bidang kesihatan, pendidikan, pembuatan, kewangan, pertanian, bahkan industri kreatif dan
sebagainya.

“Penekanan FAIE terhadap kecerdasan buatan gunaan adalah selari dengan agenda kerajaan MADANI untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan digital yang berdaya tahan, tangkas, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Untuk itu, saya mengucapkan tahniah kepada Telekom Malaysia dan MMU atas visi strategik dalam menerajui dalam bidang ini. Usaha mencorakkan inovasi dan kecemerlangan menjadi penanda aras untuk dicontohi pihak lain.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas komitmen dalam memacu kemajuan digital negara. Kerjasama strategik MCMC bersama MMU dalam menubuhkan 13 makmal AI yang canggih dan bertaraf dunia dikenali sebagai AI Transformation Centre (AIX) merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi negara.

“Usaha ini mengukuhkan lagi komitmen jangka panjang MCMC dalam membina impak yang berkekalan. Ini bukan sekadar sebuah kemudahan, tetapi pelantar untuk idea, bakat, dan inovasi.

“AIX adalah hab nasional untuk AI yang melibatkan pelaburan bersama MCMC dan MMU bernilai RM37 juta. Ia menggabungkan dunia akademia, industri, dan kerajaan dalam satu pakatan strategik bagi memacu inovasi, membina keupayaan termaju, serta memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja negara.

Menurut Anwar, penyatuan strategik ini memastikan Malaysia bukan sahaja seiring dengan perubahan digital global, malah memimpin dengan tujuan dan impak yang jelas.

“Saya berharap penubuhan Fakulti Kejuruteraan dan Kecerdasan Buatan (FAIE) ini akan menjadi satu mercu tanda penting dalam perjalanan Malaysia menuju kecemerlangan digital dan teknologi.

“Saya yakin fakulti ini akan memacu kemajuan Malaysia untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang Kecerdasan Buatan, sekali gus menjadi pemangkin inovasi yang meningkatkan produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan daya saing di peringkat global.

Dalam majlis tersebut, MMU dan MCMC memeterai kerjasama melalui AIX dengan menandatangani Memorandum Persefahaman bagi memperkukuh keupayaan pengajaran dan penyelidikan FAIE. AIX mewakili pelaburan nasional penting oleh MCMC untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa serantau dalam bakat AI, inovasi dan penyelesaian berorientasikan industri.

Di teras AIX ialah MCMC Intelligence Chair, kepimpinan strategik untuk memacu panduan jangka panjang, kelestarian dan daya saing global.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat