KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan rakyat tidak perlu bimbang untuk mengibarkan Jalur Gemilang walaupun tercetus kontroversi berhubung isu pemasangan bendera terbalik.
Beliau berkata, sempena sambutan bulan Kemerdekaan, rakyat digalakkan untuk menzahirkan semangat patriotik dengan mengibarkan bendera kebangsaan di kediaman masing-masing.
“Dalam suasana kita menyambut bulan Kemerdekaan, saya terima maklum balas di kalangan beberapa orang, mereka risau sekiranya berlaku kejadian tersalah pasang, adakah kumpulan-kumpulan tertentu akan datang gertak, buli mereka.
“Sebab itu dalam ucapan saya hari ini, saya berikan mesej jangan takut kibarkan Jalur Gemilang malah berbanggalah dengan Jalur Gemilang kita,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika menghadiri Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam 2025 di PPR Kerinchi, Lembah Pantai, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil pendekatan kasar terhadap mana-mana individu yang tersilap memasang Jalur Gemilang.
“Kira sebagai rakyat Malaysia, bila lihat sesuatu perkara melibatkan Jalur Gemilang, tak perlu libatkan ugutan. Kita bantu perbetulkan semula.
“Saya sendiri di kawasan perumahan saya, bila lihat Jalur Gemilang yang dipasangkan itu condong dan takut jatuh, saya pasangkan balik dengan betul.
“Jadi saya minta bahawa kita di Malaysia perlu hidup rukun aman damai, saling faham memahami dan patuh pada undang-undang,” katanya.



