Kes Zara Qairina: Polis, MCMC Siasat Akaun TikTok – Fahmi

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menunggu maklumat daripada platform TikTok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang individu mendakwa hadir dalam proses bedah siasat pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 10 Ogos lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan oleh polis dan MCMC.

“Kami sedang tunggu daripada pihak TikTok untuk bantu siasatan.

Saya serahkan kepada pihak PDRM dan MCMC untuk mendapatkan maklumat itu dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Baru-baru ini, tular dakwaan di media sosial apabila seorang individu mendakwa dirinya terlibat dalam proses bedah siasat jenazah Zara Qairina. Namun, semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu tersebut bukan seorang doktor pakar atau petugas KKM.

Pada masa sama, polis juga membuka siasatan terhadap akaun TikTok @berjuanguntukzara yang dipercayai memuat naik kandungan tidak tepat mengenai kes kematian pelajar itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Allahyarham Zara Qairina sebelum ini dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kes kematian tersebut mencuri perhatian ramai selepas ia didakwa mempunyai kaitan dengan kejadian buli di sekolah berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat