CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan rundingan awam selama dua minggu bermula hari ini bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan Kerangka Peraturan bagi Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) atau lebih dikenali sebagai ‘spam’.
Rundingan ini dibuat selaras dengan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang diperkenalkan melalui pindaan perundangan dan diwartakan pada Februari 2025.
Menurut MCMC, kerangka tersebut bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital yang bertanggungjawab serta memupuk ekosistem digital yang lebih selamat dan dipercayai. Selaras dengan peruntukan baharu ini, MCMC turut merangka perundangan subsidiari untuk mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan bagi menangani peningkatan penghantaran UCEM.
Rundingan awam ini terbuka kepada semua pihak berkepentingan termasuk pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan pengguna, pembuat dasar dan orang awam. Mereka dijemput untuk meneliti dokumen rundingan serta mengemukakan pandangan terhadap pendekatan kawal selia yang dicadangkan.
MCMC mengalu-alukan penyertaan sepanjang tempoh rundingan dari 13 Ogos hingga 27 Ogos 2025, yang mencerminkan komitmen suruhanjaya terhadap proses pembentukan dasar secara telus, inklusif, konsultatif dan berasaskan bukti.



