Shah Alam, 7 Ogos 2025 – Jenama tempatan semakin menonjol dalam industri automotif negara apabila Bateriku (M) Sdn. Bhd. secara rasmi melancarkan ASTRA, barisan bateri automotif yang telah menerima pensijilan SIRIM IEC 60095 bagi kesemua 28 unit SKU produk. Majlis pelancaran bersejarah ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta disaksikan oleh wakil-wakil kanan daripada SIRIM Berhad, pemain industri automotif dan rakan strategik Bateriku.
Pelancaran ini bukan sahaja menandakan satu pencapaian penting dari sudut kawalan mutu dan pematuhan piawaian antarabangsa, tetapi juga membuktikan kemampuan industri tempatan untuk membangunkan produk berkualiti tinggi yang mampu bersaing dengan jenama global. ASTRA kini menjadi satu-satunya jenama bateri automotif di Malaysia yang mendapat pengiktirafan penuh bagi ketiga-tiga kategori utama bateri MF (Maintenance Free), EFB (Enhanced Flooded Battery), dan AGM (Absorbent Glass Mat).
Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, lebih 1 juta unit ASTRA telah terjual di seluruh negara, hasil daripada kekuatan ekosistem digital dan fizikal Bateriku yang merangkumi 225 pitstop, lebih 1,500 juruteknik gig bergerak (BHero) dan lebih 100 usahawan (BPreneur) di seluruh Malaysia.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Azarol Faizi Bin Zakaria Ansari, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, menyatakan bahawa kejayaan ASTRA bukan semata-mata hasil kejuruteraan produk semata, tetapi lahir daripada kefahaman mendalam terhadap keperluan pengguna di lapangan.
“ASTRA bukan sekadar bateri ia adalah janji terhadap kualiti, sokongan selepas jualan dan ketenangan fikiran untuk setiap pengguna di jalan raya,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa ASTRA direka bukan sahaja untuk memudahkan pengguna, tetapi turut memberi nilai tambah kepada mekanik dan pemilik bengkel melalui sistem waranti nasional yang mengurus tuntutan secara langsung tanpa membebankan pengedar.
“Kenapa ASTRA merupakan bateri pilihan mekanik? Kerana mekanik tidak perlu lagi melayan tuntutan waranti pelanggan mereka. Kini pelanggan boleh ke mana-mana 225 Pitstop Bateriku atau hubungi hotline kami 24 jam semuanya akan diuruskan oleh sistem kami,” tambah beliau lagi.

Majlis pelancaran turut menyaksikan perasmian Makmal Kualiti Bateriku, dibangunkan di bawah anak syarikat Makmal Hijau Sdn. Bhd.. Fasiliti ini dilengkapi peralatan ujian dan sistem kawalan mutu dalaman yang membolehkan semua bateri ASTRA diuji dari segi prestasi, ketahanan dan keselamatan sebagai langkah penting untuk memastikan setiap unit mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh SIRIM.
Menurut Datuk Hanafi Sakri, pelaburan Bateriku dalam makmal ini menunjukkan komitmen syarikat tempatan terhadap inovasi berterusan, selain membuktikan bahawa jenama tempatan mampu bersaing dari sudut kualiti, bukan sekadar harga.
Selepas majlis pelancaran, pihak media telah dibawa menyelusuri ekosistem dalaman Bateriku melalui siri lawatan eksklusif ke beberapa lokasi utama operasi.

Lawatan dimulakan di Pusat Khidmat Pelanggan (Contact Center), di mana semua panggilan dan aduan pelanggan dari seluruh negara dikendalikan. Pusat ini berfungsi sebagai ‘jantung’ sistem sokongan pelanggan, memastikan setiap permintaan diselesaikan dalam masa 30 hingga 45 minit. Ia mencerminkan kepantasan respons syarikat dalam menangani isu pelanggan melalui sistem digital yang bersepadu.
Seterusnya, rombongan media dibawa ke Pitstop Bateriku, iaitu pusat pengedaran utama produk bateri dan peralatan sokongan di bawah rangkaian bateriku.com. Pitstop ini juga berfungsi sebagai pusat servis, pusat simpanan stok dan hab logistik kepada ratusan juruteknik dan usahawan bergerak di seluruh negara.

Lawatan diteruskan ke Makmal EV Bateriku, yang memberi fokus kepada penyelenggaraan dan baik pulih bateri kenderaan elektrik. Fasiliti ini juga merangkumi perkhidmatan servis jalanan bagi kenderaan EV, menunjukkan kesediaan Bateriku dalam menghadapi transformasi industri automotif yang semakin menumpukan kepada mobiliti rendah karbon.
Seterusnya, media dibawa ke Akademi Bateriku, iaitu pusat latihan komprehensif untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang automotif. Akademi ini menjalankan pelbagai program latihan untuk juruteknik, usahawan dan pelatih industri, sejajar dengan usaha membangunkan ekosistem perniagaan yang mampan dan lestari.
Lawatan diakhiri di Motormaniac Studio, sebuah ruang khas yang menampilkan kereta-kereta custom yang telah dibaik pulih dan dipamerkan sebagai contoh keupayaan teknikal serta nilai estetika hasil tangan juruteknik dan usahawan di bawah Bateriku. Studio ini bukan sekadar ruang pameran ia adalah pentas bagi kreativiti, inovasi dan semangat automotif. Di sinilah identiti baharu kenderaan terpakai dibina semula dengan penuh teliti dan penuh jiwa.

Lebih menarik, sesi lawatan ditutup dengan pertunjukan drift istimewa oleh adik Daleela Dasuki, pelapis muda dalam dunia sukan permotoran tempatan yang mula mencuri perhatian ramai. Aksi lincah dan berani Daleela bukan sahaja mencuri tumpuan para media dan tetamu, malah melambangkan aspirasi generasi baharu yang semakin berani mengorak langkah dalam dunia automotif selari dengan visi Bateriku untuk menyokong pembangunan bakat dan industri tempatan dari pelbagai sudut.
Dengan pelancaran ASTRA dan penubuhan makmal kualiti dalaman, Bateriku telah melangkah lebih jauh dari sekadar pembekal bateri automotif. Ia kini muncul sebagai pemain teknologi automotif digital yang menerajui revolusi dalam servis bantuan tepi jalan, perniagaan gig automotif, latihan teknikal dan mobiliti lestari.
“Kami percaya, teknologi automotif tidak harus eksklusif kepada jenama antarabangsa sahaja. Malaysia juga mampu membina sistem sendiri yang selamat, berkualiti dan mesra pengguna. Kami mulakan dengan bateri, tetapi impian kami lebih jauh dari itu,” ujar Azarol dengan penuh yakin.
Langkah Bateriku ini membuktikan bahawa inovasi tempatan mampu menjadi pemangkin perubahan industri dibangunkan oleh rakyat Malaysia, untuk kegunaan rakyat Malaysia – dengan visi global.



