Bayar tol guna nombor plat automatik akan bermula September, kurangkan kesesakan

KUALA LUMPUR – Sistem pembayaran terbuka tol berasaskan teknologi identifikasi nombor plat automatik (ANPR) akan dilakukan secara rintis dan berperingkat bermula September-Oktober ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sedia untuk dilaksanakan di laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua sebelum diperluaskan ke keseluruhan jajaran lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Katanya, pelaksanaan sistem sebagai satu langkah ke arah pelaksanaan sistem aliran pantas pelbagai lorong (MLFF) bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, katanya, peratusan pengurangan itu masih belum diperoleh kerana projek yang masih berada pada peringkat rintis.

“Ia sudah dibangun, dimulakan dan ambil masa sedikit lagi. Mungkin September atau Oktober tahun ini boleh dipastikan sistem ini baik atau ada kurangnya.

“Lalu lintas akan lebih lancarlah. Untuk peratusan pengurangan kesesakan itu kita masih belum muktamadkan kerana masih di peringkat awal untuk dikaji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Taklimat dan Demonstrasi Pelaksanaan Sistem Pembayaran Terbuka Identifikasi Nombor Plat Automatik (ANPR) di Persada PLUS, lapor Utusan pada Khamis.

Platform digital bersepadu itu menyokong pelbagai kemudahan termasuk penggunaan mod pembayaran digital dan tanpa tunai serta perkhidmatan mobiliti lain yang akan diperkenalkan menerusi aplikasi khas JustGO.

Aplikasi itu turut menyokong pelbagai kaedah pembayaran seperti e-dompet, kad debit, kad kredit dan Touch ‘n Go.

Tambah beliau, sistem itu dibangunkan sepenuhnya oleh industri lebuh raya tempatan tanpa memberikan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.

Katanya, platform digital yang dibangunkan hanya memerlukan pengguna untuk mendaftar secara atas talian dengan menggunakan butiran pengenalan diri, kenderaan dan pembayaran dengan kadar pengesanan pada 99.98 peratus.

“Pembayaran sebab tanpa tol, kereta tidak perlu berhenti dan tanpa gangguan perjalanan. Bila dibaca, secara automatik kadar tol akan ditolak daripada akaun.

“Dengan sistem ANPR baru ini, pengguna-pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan mana-mana lorong sedia ada. Malah, tiada kos atau caj akan dikenakan kepada rakyat untuk mendaftar dan mula menggunakan sistem ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan pengguna untuk menggunakan plat nombor mengikut spesifikasi kerana ia mampu menjejaskan keberkesanan sistem itu.

Dalam pada itu, kata Alexander, pelaksanaan penuh sistem MLFF dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan teknologi ANPR sebagai asas utama sistem berkenaan.

Katanya, ujian sedang dijalankan di lebuh raya PLUS dan dijangka membantu semua pihak membuat persiapan rapi ke arah pelaksanaan sistem secara menyeluruh.

“MLFF bermakna pengguna tidak lagi perlu melalui lorong khas atau palang. Ia akan menjadi aliran terbuka sepenuhnya menggunakan sistem pengesanan automatik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alexander memaklumkan bahawa kerja menaik taraf Persimpangan Juru seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bermula hujung tahun ini, dengan agensi pelaksana kini sedang membuat persiapan rapi bagi memenuhi jangka masa ditetapkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat