Malaysia rekodkan pelbagai pencapaian signifikan Sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025

KUALA LUMPUR, – Malaysia telah merekodkan pelbagai pencapaian signifikan sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN 2025, yang memberi manfaat langsung dan tidak langsung kepada rakyat serta komuniti serantau.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Luar Negeri dalam jawapan kepada pertanyaan lisan Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Kemaman) di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Menteri Luar, sejak memulakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025, Malaysia melaksanakannya dengan penuh komitmen dan dedikasi melalui pendekatan yang inklusif, terangkup dan berfokuskan rakyat.

Dalam jawapan tersebut Kementerian menggariskan enam pencapaian utama Malaysia seperti berikut:

Pertamanya ialah pengukuhan kesepaduan dan kepusatan ASEAN di mana Malaysia telah berjaya mengemudi ASEAN ke arah memperkukuh perpaduan dalaman, menjadikan ASEAN terus kekal sebagai sebuah platform yang neutral, konstruktif dan berprinsip.

“Usaha ini penting dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa termasuk konflik Thailand-Kemboja, isu Laut China Selatan, persaingan kuasa besar serta ketidaktentuan ekonomi global,” kata Kementerian Luar.

Selain itu pemeteraian Kuala Lumpur Declaration ASEAN 2045: Our Shared Future adalah antara inisiatif warisan penting.

Malaysia melancarkan deklarasi ini bagi menetapkan hala tuju jangka panjang ASEAN.

Visi ini menyasarkan pembinaan sebuah Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat menjelang tahun 2045. Ia menjadi asas kepada strategi pembangunan serantau untuk jangka panjang.

Malaysia memainkan peranan utama dalam mempercepatkan proses kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN.

Kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11 ini bukan sahaja melengkapkan keanggotaan ASEAN sebagai satu entiti serantau, tetapi juga diyakini mampu memperkukuh keselamatan, kestabilan serta kerjasama ekonomi, politik dan sosio-budaya di seluruh Asia Tenggara.

Sepanjang Kepengerusian Asean Malaysia juga menganjutkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China.

Kejayaan menganjurkan sidang-sidang berprofil tinggi ini telah membuka ruang kerjasama ekonomi yang lebih luas antara ASEAN dan blok ekonomi luar rantau, termasuk negara-negara Teluk dan China.

Ia turut membuka pintu pasaran baharu, memperluas peluang pelaburan, dan memberikan manfaat ekonomi secara langsung kepada syarikat tempatan serta rakyat.

Malaysia juga telah mengetuai usaha ASEAN dalam memuktamadkan Protokol Kedua Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (ATIGA) dan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA).

Inisiatif ini diyakini mampu mengukuhkan integrasi ekonomi serantau, memperluaskan perdagangan rentas sempadan, serta merangsang pekerjaan berasaskan teknologi dan peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan muda dan digital.

Menteri Luar turut memaklumkan bahawa Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat Pemimpin ke-5 Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan Oktober, bagi memperkukuh kerjasama ekonomi lebih meluas.

Kementerian Luar juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa pelbagai program ASEAN yang dilaksanakan turut membuka peluang kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, untuk menyertai latihan kemahiran, program mobiliti pelajar serta pembangunan kapasiti.

Langkah ini bertujuan meningkatkan daya saing negara melalui pembangunan tenaga kerja yang berpengetahuan dan bersedia menghadapi ekonomi global.

Kementerian Luar turut memneri komitmen bahawa dalam tempoh beberapa bulan yang berbaki sebelum berakhirnya penggal kepengerusian ini, Malaysia akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara melalui pendekatan dialog dan diplomasi yang lebih proaktif.

Fokus utama ialah untuk memperkukuh perpaduan dan kesepaduan ASEAN ke arah membina rantau yang aman, stabil dan makmur.

Pendekatan ini, menurut Menteri Luar, adalah sejajar dengan Dasar Luar Malaysia yang meletakkan ASEAN sebagai keutamaan utama dalam memperjuangkan kepentingan nasional dan rakyat secara keseluruhan. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat