Hutang zaman darurat selamatkan nyawa, hutang kerajaan kini selamatkan siapa?” – tanya Hamzah

KUALA LUMPUR, – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan justifikasi kerajaan mengeluarkan hutang hampir RM90 bilion pada tahun 2023, sedangkan negara ketika itu tidak lagi berada dalam situasi darurat atau krisis kesihatan awam.

Berucap dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di Dewan Rakyat, Hamzah menegaskan bahawa hutang yang diterbitkan ketika pentadbiran Perikatan Nasional dahulu adalah langkah yang perlu bagi menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara semasa pandemik COVID-19.

“Dulu hutang yang didakwa ‘keterlanjuran’ itu untuk selamatkan nyawa. Sekarang, hutang YAB Tambun itu untuk selamatkan siapa?” soalnya sinis.

Hamzah menolak dakwaan Perdana Menteri bahawa hutang yang tinggi hari ini adalah “keterlanjuran pentadbiran lalu”.

Sebaliknya, beliau menyenaraikan bagaimana hutang ketika era PN digunakan secara langsung untuk:

  • Menyelamatkan lebih 150,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),
  • Melindungi jutaan pekerjaan melalui program subsidi upah,
  • Memberi bantuan tunai langsung kepada rakyat,
  • Menjamin bekalan makanan dalam keadaan ekonomi global lumpuh.

“Mohon YAB Tambun bertanya sendiri kepada bekas Menteri Kewangan ketika itu – yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya, merujuk kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Hamzah mendedahkan bahawa hutang langsung kerajaan Malaysia kini telah mencecah RM1.305 trilion setakat Jun 2025 meningkat RM50 bilion hanya dalam tempoh enam bulan sejak Disember 2024.

Jika dicampur dengan liabiliti luar jangka dan jaminan kerajaan, jumlah keseluruhan kini mencecah RM1.685 trilion hampir RM1.7 trilion.

“Dalam masa kurang dua tahun, pentadbiran Kerajaan Madani telah menambah RM285 bilion kepada jumlah hutang dan liabiliti kerajaan,” katanya.

Hamzah turut memetik kenyataan YB Menteri Kesihatan dalam video tular baru-baru ini bahawa nisbah hutang negara kini telah melepasi had 65% KDNK.

“Akta Tanggungjawab Fiskal menetapkan hutang tak boleh melebihi 65%. Tapi kerajaan Madani buat juga. Ini bukan lagi keterlanjuran ini pemborosan,” katanya.

Beliau mendakwa kerajaan kini berselindung di sebalik slogan indah “Ekonomi Madani” untuk menyembunyikan kelemahan pengurusan fiskal sebenar.

Hamzah menggesa kerajaan menjelaskan secara terbuka bagaimana hutang baharu yang diterbitkan digunakan, dan adakah ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Dulu hutang untuk selamatkan nyawa. Sekarang hutang untuk selamatkan siapa? Ini soalan rakyat, bukan sekadar pembangkang,” tegas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat