PORT DICKSON – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberi peringatan agar semua pihak berhenti mempolitikkan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini.
Beliau menegaskan bahawa tindakan memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik hanya akan mencetuskan ketegangan kaum dan menjejaskan semangat perpaduan nasional, terutamanya menjelang sambutan Hari Kebangsaan hujung bulan ini.
“Setiap kali sesuatu seperti ini berlaku, pasti ada pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu ini,” katanya ketika diminta mengulas isu tersebut di satu majlis di Port Dickson, semalam.
Anthony Loke turut memaklumkan bahawa pihak sekolah telah mengambil tindakan segera sebaik sahaja kesilapan itu disedari, termasuk menurunkan dan memasang semula Jalur Gemilang dengan betul, serta mengeluarkan permohonan maaf terbuka.
Dalam kenyataannya, Loke menzahirkan keyakinan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan rapi berhubung perkara tersebut dan menyeru semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan atau menghasut kemarahan awam.
Katanya, sebarang tindakan berhubung insiden seumpama ini wajar dikendalikan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab secara profesional dan berhemah.
“Kita perlu bezakan antara kesilapan teknikal dengan niat jahat. Dalam hal ini, sekolah berkenaan telah bertindak pantas membetulkan keadaan,” ujar beliau.



