CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan tegas terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan, Jumaat lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh siasatan sebelum sebarang tindakan diambil.
“Saya sentiasa mengingatkan dari sudut sensitiviti, tanggungjawab dan komitmen berhubung Jalur Gemilang terutama ketika kita dalam menuju Hari Kebangsaan, dan kesilapan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya seperti dipetik oleh Buletin TV3 semasa menghadiri majlis penyerahan bantuan awal persekolahan di Kota Bharu, Kelantan.
Terdahulu, pihak sekolah memohon maaf secara terbuka atas kejadian tersebut melalui kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta pentadbiran sekolah.
Menurut mereka, insiden itu berlaku sekitar jam 5 petang pada 1 Ogos apabila seorang pekerja telah memasang bendera sebelum tamat waktu bekerja, namun tanpa disedari satu daripada Jalur Gemilang tersebut dipasang secara terbalik.
Sekolah itu mengakui kesilapan tersebut adalah kecuaian yang tidak disengajakan dan telah segera membetulkan kedudukan bendera sebaik sahaja dimaklumkan.
Insiden tersebut mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk gesaan agar tindakan lebih tegas diambil bagi menjamin maruah dan kehormatan terhadap simbol negara tidak dipandang ringan.



