Asyraf Khalid dakwa dihina & difitnah Caprice, bertindak bawa kes ke muka pengadilan

Cyberjaya, 1 Ogos 2025 – Usahawan dan figura media sosial, Asyraf Khalid, tampil ke hadapan dengan langkah tegas selepas mendakwa dirinya dan keluarga menjadi mangsa siri serangan peribadi di media sosial oleh personaliti kontroversi Caprice.

Bertindak atas dasar mempertahankan maruah dan keselamatan keluarga, Asyraf telah membuat laporan polis serta sedang dalam proses memfailkan tindakan undang-undang terhadap Caprice atas dakwaan buli siber, fitnah dan penghinaan melampau yang dikatakan berlaku secara berterusan di platform media sosial.

Ketegangan bermula apabila Asyraf memuat naik video teaser bagi episod baharu podcastnya, “Apa Cerita,” tanpa mendedahkan identiti tetamu. Namun, Caprice secara terbuka mempersoalkan dan menyerang tindakan Asyraf melalui beberapa hantaran media sosial, menuduh beliau memberi ruang kepada individu yang terlibat dengan dakwaan kekerasan.

Menurut Asyraf, dia telah mencuba untuk menyelesaikan perkara tersebut secara peribadi dengan menghubungi Caprice. Namun, katanya, tindakan Caprice semakin agresif dan menyerang secara terbuka, termasuk mengaitkan dirinya dengan tuduhan serius seperti pedofilia serta memperlekehkan fizikal dan keluarga.

“Saya bukan tampil sebagai selebriti atau usahawan, tetapi sebagai seorang ayah, suami dan anak yang perlu melindungi maruah keluarga saya,” jelas Asyraf dalam satu sidang media khas di pejabat guamannya, Wan Shahrizal, Hari & Co.

Langkah Asyraf membuat laporan polis di Balai Polis Pudu pada 31 Julai lalu serta mendapatkan khidmat nasihat undang-undang menjadi titik penting dalam menandakan keseriusan isu ini. Peguamnya, Abdul Hakeem Aiman, mengesahkan bahawa tindakan sivil atas dasar fitnah akan difailkan dalam masa terdekat.

“Kami akan memfailkan saman malu dan saman fitnah. Namun, buat masa ini kami enggan mengulas lanjut kerana menghormati proses mahkamah,” ujar beliau.

Episod podcast yang menjadi punca perbalahan itu turut tidak disiarkan, sebagai usaha untuk meredakan keadaan dan menghormati sensitiviti pihak-pihak tertentu. Namun begitu, serangan dalam talian didakwa tetap diteruskan oleh Caprice.

Apa yang menimpa Asyraf membuka semula perbincangan penting tentang budaya buli siber dalam masyarakat kita. Dalam era di mana media sosial menjadi wadah utama komunikasi dan perdebatan, sempadan antara kritikan membina dan serangan peribadi sering kali dilanggar.

Buli siber tidak lagi terhad kepada kata-kata kasar. Ia kini melibatkan tuduhan yang boleh menjatuhkan reputasi, mengganggu emosi dan menjejaskan keharmonian rumah tangga – seperti yang didakwa berlaku dalam kes Asyraf.

“Ini bukan soal konten atau populariti. Ini soal keselamatan dan maruah. Saya tampil bukan untuk mencipta sensasi, tetapi untuk memberi isyarat jelas bahawa perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan,” kata Asyraf.

Dalam kenyataannya, Asyraf turut menyeru pengguna media sosial agar lebih beretika dan bertanggungjawab. Menurut beliau, ruang digital seharusnya menjadi tempat untuk berkongsi ilmu, bukan menyebarkan kebencian.

“Saya percaya pada kebenaran. Dan saya yakin rakyat Malaysia masih punya hati nurani untuk menilai mana yang benar dan mana yang salah,” ujarnya.

Asyraf juga merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, rakan serta pasukannya yang terus menyokongnya dalam menghadapi tekanan ini. Beliau menyifatkan pengalaman ini sebagai ujian terhadap kesabaran dan kepercayaan pada keadilan.

Kes Asyraf dan Caprice bukan kes terpencil. Ia mencerminkan realiti hari ini bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa fitnah dan buli siber jika masyarakat tidak dididik dengan nilai adab dan tanggungjawab digital.

Tindakan Asyraf yang memilih untuk menyelesaikan perkara ini melalui saluran undang-undang wajar dilihat sebagai langkah berani dan perlu dihormati. Ia bukan sahaja demi dirinya, tetapi juga demi memperbetulkan norma interaksi digital yang semakin terpesong.

Jika media sosial boleh menjatuhkan seseorang dalam sehari, maka ia juga harus digunakan untuk membela yang benar. Dan barangkali, dari sinilah bermulanya kesedaran baru tentang sempadan antara kebebasan bersuara dan kebiadaban digital.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat