Cyberjaya, 1 Ogos 2025 – Selepas sembilan tahun mencurah bakti, Suraya Borhan secara rasmi menamatkan tugasnya sebagai penyampai radio di Suria FM hari ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, Suria FM memaklumkan bahawa hari ini merupakan hari terakhir Suraya bersama stesen radio berkenaan. Sepanjang tempoh hampir sedekad, Suraya dikenali sebagai seorang penyampai yang komited, profesional dan menjadi sumber inspirasi kepada warga kerja Suria FM.
“Suraya sentiasa memperlihatkan komitmen dan profesionalisme yang tinggi, menjadi inspirasi kepada rakan sekerja di Suria FM,” ujar kenyataan itu.
Pihak Suria FM turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala sumbangan serta dedikasi yang telah diberikan oleh Suraya sepanjang beliau bersama stesen tersebut.
“Kami mendoakan yang terbaik buat Suraya dalam setiap langkah dan cabaran baharu yang bakal ditempuhi selepas ini,” tambah kenyataan itu.
Suraya Borhan merupakan antara suara yang sinonim dengan Suria FM dan telah membina pengaruh tersendiri dalam kalangan pendengar setia stesen tersebut.



