Amanah Tegas Kekal Mahu Bertanding di Sabah – Faiz Fadzil

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan akan kekal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dengan yakin bahawa peluang untuk meraih kerusi sulung di Malaysia Timur kini lebih cerah.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata pendirian itu dibuat selepas menilai kekuatan parti serta potensi sokongan yang semakin meningkat.

“Amanah akan kekal bertanding di Sabah dan tidak akan sesekali menarik diri, keputusan ini dibuat dengan keyakinan terhadap kekuatan kita,” katanya memetik portal berita FMT, sambil memaklumkan perkara itu turut dibincang bersama rakan berpotensi.

Tambahnya, keyakinan Amanah semakin meningkat selepas menyertai kerajaan persekutuan.

“Menerusi penambahan kekuatan Amanah selepas lima tahun, jentera semakin kukuh dan kami yakin pengaruh di Sabah semakin meningkat,” katanya lagi.

Pada Ahad lalu, FMT melaporkan pandangan penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Pawi, yang menyarankan agar Amanah memberi keutamaan kepada matlamat asal parti sebagai alternatif kepada PAS, berbanding mengejar kerusi di Sabah.

Beliau turut mencadangkan supaya Amanah memberikan laluan kepada parti-parti tempatan yang dijangka membentuk kerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu memaklumkan bahawa rundingan kerusi PRN Sabah sedang dimuktamadkan. Dua kawasan telah selesai dirunding manakala tiga lagi masih dalam proses, iaitu Tanjung Aru, Lumadan dan Sulabayan.

Ketika ini, Tanjung Aru dan Sulabayan disandang oleh wakil Warisan — Junz Wong dan Jaujan Sambakong, manakala DUN Lumadan disandang oleh Ruslan Muharam, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat