UMT pelopor inovasi digital dalam pengajaran seni taranum al-Quran

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memacu transformasi pendidikan Islam apabila memperkenalkan aplikasi mudah alih Taranum al-Quran – satu inisiatif digital pertama seumpamanya di Malaysia yang direka khusus untuk memperkasa pembelajaran seni bacaan al-Quran berlagu dalam kalangan masyarakat umum.

Dilancarkan semasa Seminar Asas Taranum al-Quran Siri 1 yang berlangsung di Masjid Tengku Besar, Kampung Kubang Ikan, aplikasi ini bukan sahaja mencerminkan inovasi teknologi dalam bidang pengajian al-Quran, malah menjadi pencetus perubahan kepada kaedah tradisional pengajaran taranum yang selama ini bergantung kepada halaqah fizikal dan berguru secara bersemuka.

Menurut Prof Madya Dr Abdul Hanis Embong, Timbalan Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT, pembangunan aplikasi ini adalah hasil penyelidikan intensif antara pihak universiti dan syarikat teknologi pendidikan tempatan, Oxford EduVision (M) Sdn. Bhd.

Kami tidak sekadar mencipta aplikasi, tetapi mencipta platform ilmu yang membolehkan semua lapisan masyarakat mengakses taranum dengan cara tersusun, fleksibel dan berkualiti – seiring dengan keperluan zaman,” katanya.

Aplikasi ini didatangkan dengan pelbagai fungsi interaktif seperti audio qari profesional, panduan video bertahap, latihan makhraj, e-book, serta modul digital yang boleh diakses secara kendiri membuka lembaran baharu dalam dunia pembelajaran seni bacaan al-Quran secara sistematik dan berdigital.

Apa yang membezakan aplikasi ini adalah keupayaannya menjadikan taranum – satu seni bacaan al-Quran yang selama ini dianggap sukar dan hanya dikuasai oleh segelintir sebagai ilmu yang boleh diakses sesiapa sahaja hanya melalui telefon pintar.

“Anak muda hari ini lebih dekat dengan gajet. Jadi, kita bawa ilmu ini ke dalam gajet mereka, dengan kaedah penyampaian yang mesra, tetapi tetap berpaksikan disiplin ilmu taranum yang sebenar,” ujar Ahmad Zaidi Mustafa, wakil penganjur seminar.

Langkah ini juga dilihat selari dengan gerakan global dalam digitalisasi pendidikan Islam, dan meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal yang mengintegrasikan seni bacaan al-Quran berlagu dalam bentuk aplikasi mudah alih.

Selain menjadi medium pengajaran, aplikasi ini juga berfungsi sebagai alat pemulihara nilai dan adab seni taranum yang sebenar, yang sering kali disalah tafsir sebagai hiburan atau nyanyian.

Ustaz Abdul Hadi Che Abd Halim, tokoh utama di sebalik penyusunan modul seminar dan penulis Modul Asas Taranum al-Quran: Teori dan Praktikal, menegaskan bahawa taranum adalah bentuk ibadah, bukan persembahan bebas yang boleh disamakan dengan genre muzik lain.

Dengan adanya teknologi ini, kita bukan sahaja memperluaskan akses, tetapi juga mendidik masyarakat untuk memahami bahawa taranum berpaksikan maqam dan adab – bukan sekadar ‘lagu-lagu sedap’ yang dicampur dalam bacaan suci al-Quran,” katanya.

Dengan seminar yang dijadualkan berlangsung dalam tujuh siri di pelbagai lokasi di Terengganu, pihak penganjur berharap akan wujud satu komuniti pembelajaran digital seni al-Quran yang aktif dan inklusif merentas usia, lokasi dan latar belakang.

Malah, gabungan modul tersusun, pakar bertauliah dan aplikasi pintar ini bukan sahaja memperkasa individu secara kendiri, malah berpotensi menjadi rujukan utama dalam pengajaran taranum di sekolah, pusat tahfiz dan institusi pendidikan tinggi.

Dengan pelancaran aplikasi Taranum al-Quran, UMT bukan sahaja mencipta sejarah sebagai pelopor teknologi pendidikan Islam dalam bidang tilawah, malah mengangkat seni warisan ini ke tahap yang lebih moden, tersusun dan mudah dicapai – tanpa mengorbankan roh dan disiplinnya yang luhur.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat