KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menukilkan sajak memohon maaf kepada rakyat sekali gus mengingatkan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak meremehkan 25,000 rakyat yang turun ke jalanan dalam protes aman “Turun Anwar” 26 Julai baru-baru ini.
Hassan menegaskan rakyat tidak pernah silap sebaliknya mereka yang elit dan sekarang menjadi penguasa yang mudah lupa.
“Kupohon maaf kepada rakyat dari mercu Parlimen ini, 25 tahun kita (PKR, PH) berusaha menjadi kerajaan dengan turun ke jalan raya berkali-kali.
“Kita impikan pemimpin kita jadi Perdana Menteri tetapi semalam (kelmarin) 25,000 massa (orang ramai) berhimpun, kita menjadi sasaran kemarahan rakyat jelata dengan menuntut Perdana Menteri kita disuruh turun.
“Rakyat tidak pernah silap yang mudah lupa kita yang elit dan sekarang jadi sang penguasa,” tegas ahli Parlimen PKR itu dalam sajaknya itu.
Hassan bagaimanapun beranggapan ada hikmah di sebalik ini semua kerajaan tidak selalunya betul.
Beliau sebaliknya mengingatkan janji pilihan raya ditagih rakyat kini.
“Janji kita ditagih, mungkin ada yang kita mungkiri selama ini. Jika tidak takkan rakyat menjerit berulang kali bahawa mereka telah dikhianati.
“Jadi eloklah kita merendah hati, marilah kita bermuhasabah diri.Kita tidaklah terlalu buruk tetapi kita juga tidaklah baik sangat.
“Masih ada masa untuk meluruskan yang bengkang bengkok, kembalilah kita ke jalan yang benar.
“Jika kita masih mencari kemenangan, jujur dan ikhlas kita seperti mula-mula dulu- waktu kita yang tiada kuasa membina ikrar-ikrar murni,” nasihat beliau.



