KUALA LUMPUR, – Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nurul Ezzati Azmi menyifatkan perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka semalam sebagai isyarat jelas bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, himpunan aman yang berlangsung itu bukan sekadar luahan kemarahan, tetapi lambang keresahan mendalam rakyat yang semakin tertekan akibat kegagalan kerajaan menangani isu kos sara hidup dan kemerosotan ekonomi.
“Lautan manusia yang berkumpul di Dataran Merdeka bukan semata-mata untuk menunjukkan kemarahan, tetapi sebagai isyarat jelas bahawa rakyat sudah muak dengan kegagalan kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Nurul Ezzati menegaskan, tuntutan yang dizahirkan rakyat tidak didorong oleh sentimen politik semata-mata, sebaliknya lahir daripada pengalaman sebenar rakyat marhaen daripada anak muda, ibu bapa, peniaga kecil hinggalah pekerja kilang yang semakin terhimpit oleh ketidaktentuan ekonomi dan pentadbiran yang lemah.
“Apakah cukup RM100 untuk menutup kelaparan satu keluarga? Bantuan ‘satu Malaysia’ yang kononnya menyeluruh itu hanya menyerlahkan betapa tidak fahamnya kepimpinan hari ini terhadap realiti hidup rakyat B40,” ujarnya.
Katanya, Srikandi Muda BERSATU berdiri teguh bersama denyut nadi rakyat dan menyokong penuh suara rakyat yang bangkit menuntut pertanggungjawaban kerajaan, bukan sekadar dengan retorik, tetapi melalui tindakan yang nyata dan berkesan.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan secara terhormat dan memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu yang lebih berwibawa serta telus dalam usaha memulihkan negara daripada kemelut ekonomi dan sosial yang semakin membarah.
“Malaysia tidak boleh terus dibiarkan rosak hanya kerana mahu mempertahankan ego seorang pemimpin. Negara ini milik rakyat, dan suara rakyat hari ini adalah amaran pertama,” tegasnya.
Perhimpunan “Turun Anwar” semalam menyaksikan ribuan peserta berhimpun di sekitar Dataran Merdeka, kebanyakannya mengenakan pakaian hitam serta membawa kain rentang dan plakad mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri.



