CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa dalam suasana politik yang mencabar hari ini, setiap keputusan yang dibuat oleh parti adalah bertujuan untuk memastikan kestabilan serta masa depan negara, walaupun keputusan tersebut mungkin tidak menyenangkan semua pihak.
Menurut beliau, perjuangan politik menuntut keteguhan prinsip dan bukan sekadar keselesaan. Katanya, “Setinggi mana pun kedudukan kita dalam parti atau kerajaan, kita harus sedar bahawa setiap jawatan itu amanah yang wajib dipikul dengan penuh tanggungjawab.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub menurut Bernama.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengingatkan ahli-ahli parti supaya terus memperkukuh semangat perjuangan serta tidak mudah goyah apabila berdepan ujian. Menurutnya, kesatuan dalam kalangan ahli amat penting bagi memulihkan semula kekuatan parti.
“Kita sudah diuji dua kali dalam PRU… cukuplah kita berpecah, bergaduh, ‘tembak sama sendiri’, ada duri dalam daging. Belajarlah daripada kelemahan dahulu betulkan ‘rumah tangga’ Umno dan BN, mudah-mudahan kita akan dominan semula,” katanya.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional turut menyentuh soal kehadiran ahli UMNO dalam perhimpunan yang berlangsung di ibu negara semalam.
Ketika ditemui media, beliau berkata: “UMNO sekarang berada dalam kerajaan Madani dan kita harus mengukuh bukan meruntuh kerajaan yang ada sekarang.”



