Muzium Penjara Malaysia papar realiti kehidupan di sebalik tirai besi sempena FHMAPK 2025

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Jika anda berkunjung ke Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK) di Muzium Padi, Gunung Keriang dekat sini, jangan lepaskan peluang keemasan ini berkunjung dan singgah sebentar ke reruai Muzium Penjara Malaysia.

Walaupun reruai yang dibawa oleh Muzium Penjara bukanlah seperti sebuah penjara sebenar, namun suasana di dalamnya memang terasa seperti realiti kehidupan di sebalik tirai besi.

Di sini, pastinya anda boleh mendapatkan gambaran sebenar suasana terutamanya di dalam sel yang boleh menginsafkan dan mampu menyentuh hati para pengunjung.

Mana tidaknya di situ, dipamerkan saiz sel yang kecil seperti dalam penjara, membuatkan pengunjung sukar membayangkan bagaimana prospek (banduan) boleh hidup di dalamnya.

Pengunjung juga akan disajikan dengan simulasi melalui tayangan video bagaimana kehidupan harian banduan yang menjalani program pemulihan dan juga pelaksanaan sebatan.

Pengalaman berada di situ walaupun seketika sedikit sebanyak dapat memberikan kesan psikologi terutamanya golongan muda supaya menjauhi jenayah, termasuk penyalahgunaan dadah.

Reruai Muzium Penjara walaupun dihiasi replika namun sudah cukup memberi kesedaran, dengan harapan ia dapat mencegah mereka daripada terjerumus dalam kancah dadah atau kegiatan jenayah.

Selain itu pengunjung boleh berfikir dua kali dan menutup pintu hati terjebak melakukan jenayah dan meningkatkan kesedaran mereka, akibat yang menanti sekiranya mereka memilih jalan yang salah.

Ketika ditemui Wartawan SUARA.TV, Pengarah Muzium Penjara, Supt Aswari Che Ibrahim berkata reruai Muzium Penjara memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam realiti kehidupan di sebalik tirai besi.

Beliau berkata, Muzium Penjara ingin membawa pelawat menjiwai nilai estetika dalam sesebuah penjara dengan menghargai nikmat keselamatan dalam kalangan masyarakat dan menghayati nilai peradaban manusiawi yang diterapkan dalam Evolusi Kepenjaraan Malaysia.

Katanya, pelawat boleh menggunakan teknologi terkini peralatan fokus digital yang disediakan oleh Muzium Penjara bagi menggambarkan seorang anggota bertugas di Menara Kawalan dengan penuh dedikasi divisualkan dalam bentuk Video Virtual Reality (VR).

Tambahnya, ianya salah satu usaha murni Muzium Penjara memartabatkan usaha Jabatan Penjara Malaysia dalam mengutamakan keselamatan di penjara demi kesejahteraan masyarakat dan membentuk peradaban manusiawi di kalangan banduan yang mengikuti program pemulihan yang berterusan agar berguna kepada masyarakat apabila bebas kelak.

“Kami mengalu-alukan kehadiran lebih ramai pengunjung ke FHMAPK 2025 khususnya reruai Muzium Penjara dan sekiranya ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam penjara bolehlah melawat ke Muzium Penjara di Banda Hilir, Melaka,”tambahnya lagi .

FHMAPK 2025 yang berlangsung di sini dari 23 hingga 29 Julai 2025 menyaksikan sebanyak 29 buah muzium termasuk dari Singapura dan Indonesia menyertai festival yang berprestij ini. – SUARA.TV

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat