PHNOM PENH, – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memperjelas pendirian negaranya berhubung cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Pengerusi ASEAN bergilir merangkap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Hun Manet, beliau menerima panggilan telefon daripada Anwar pada petang 24 Julai bagi membincangkan insiden pertempuran yang berlaku di sepanjang sempadan antara tentera Thailand dan Kemboja.
Dalam perbualan itu, Anwar menyatakan kebimbangan terhadap eskalasi konflik dan mengemukakan cadangan agar kedua-dua pihak menghentikan pertempuran serta-merta bagi membuka ruang kepada penyelesaian diplomatik.
Hun Manet memaklumkan bahawa Kemboja menyambut baik dan menyokong penuh cadangan gencatan senjata tersebut kerana negara itu tidak memulakan sebarang bentuk serangan.
Lebih lanjut, Anwar turut memaklumkan kepada Hun Manet bahawa beliau telah menghubungi pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan menerima persetujuan awal daripada pihak Thai terhadap cadangan gencatan senjata tersebut.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan pertempuran mulai jam 12 tengah malam, 24 Julai.
Namun begitu, lebih sejam selepas persetujuan tersebut, pihak Thai dilaporkan menarik balik persetujuan mereka dan memutuskan untuk “menunggu dan lihat” dahulu.
Hun Manet menzahirkan rasa kesal terhadap perubahan pendirian mendadak itu dan menegaskan bahawa Anwar sendiri maklum serta menyaksikan perubahan sikap tersebut.
“Justeru, kunci utama dalam mencari penyelesaian kepada konflik bersenjata ini bergantung kepada keikhlasan sebenar pihak Thailand untuk menerima gencatan senjata sebagai langkah pertama menuju rundingan damai,” kata Hun Manet.
Kenyataan ini dilihat sebagai usaha Phnom Penh untuk meluruskan naratif antarabangsa yang mungkin mengelirukan mengenai siapa yang mencetuskan konflik serta memperkukuh imej Malaysia sebagai pemudah cara diplomatik di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
Pertempuran di sempadan Thai-Kemboja sejak awal minggu ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara ASEAN, khususnya menjelang fasa akhir Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini yang dipengerusikan oleh Malaysia.-SuaraTV



