KUALA LUMPUR – Ahli PKR Faiz Naaman mempersoal Datuk Seri Rafizi Ramli tentang apa kesalahan yang sudah dilakukan ahli perniagaan yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Farhash Wafa Salvador.
“Rafizi apa kesalahan Farhash buat?
“Kalau ada bukti boleh serah kepada SPRM.
“Dia (Farhash) pun tiada jawatan dalam PKR dah. Dia juga kata Sultan Kelantan itu rakan bisnes dia,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Faiz juga menyelar “tak cerdik jika ganggu proksi istana dalam politikbisnes selagi mereka tidak ganggu kita dan urusan pentadbiran negara.
“Nanti panjang ceritanya. Naya ke anak bini dan orang yang rapat.
“Jangan cari masalah. Realiti dan realpolitik Malaysia memang begini. Kena hadap dan terima,” saran Faiz.
Untuk rekod tahun lalu media corporatekini.com melaporkan, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V muncul sebagai pemegang saham terbesar di dalam Heitech Padu Berhad iaitu sebanyak 15.9 peratus kepentingan.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu mengumumkan bahawa baginda telah membeli 16.1 juta saham yang diperoleh menerusi Rosetta Partners Sdn Bhd, anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd.
Sementara itu, ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Bekas pemimpin PKR itu berkata, Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki bersama dengan Sultan Muhammad V, bukannya milik mutlaknya sebagaimana dakwaan pihak tertentu.
Hari ini, Rafizi melahirkan kebimbangan susulan kontroversi demi kontroversi yang ditimbulkan dan dikaitkan dengan Farhash Wafa Salvador.
Beliau mendesak isu perlu ditangani segera dan penafian mentah tidak lagi akan diterima oleh rakyat.
Justeru bekas Menteri Ekonomi itu berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang kontroversi ini dengan serius.
“Sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.
“Maklumat-maklumat yang didedahkan setakat ini sudah cukup untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan terhadap Farhash, seperti mana kertas siasatan dibuka terhadap tokoh-tokoh lain yang dituduh menjadi kaya secara tiba-tiba.
“Bila ada konsistensi sebegini, barulah lebih ramai rakyat yang lebih yakin dengan usaha kerajaan membanteras rasuah.
“Jika tidak, bukan sahaja usaha-usaha ini tidak membuahkan hasil yang dikehendaki dan diterjemahkan kepada kedudukan CPI negara yang lebih baik, saya khuatir beban Farhash ini akan mengheret PKR dan PH dalam pilihan raya yang akan datang,” desak beliau.
Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan ini bukan kali pertama Farhash disabitkan dengan pelbagai urusniaga yang mengundang kontroversi.



