CYBERJAYA – Malaysia bersama negara-negara anggota ASEAN sedang mengusulkan reformasi terhadap kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya berkaitan lima anggota tetap yang mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan.
Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, langkah itu perlu kerana kuasa veto sering kali digunakan untuk menyekat keputusan walaupun ia telahpun diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB dengan majoriti suara.
“Ini yang kita nak supaya diadakan perubahan terhadap kuasa veto oleh The Permanent Five ataupun negara tetap lima anggota,” ujarnya dalam sesi sidang Parlimen petang tadi.
Lima negara yang memiliki kuasa veto tetap dalam Majlis Keselamatan PBB ialah China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Hasan turut menyatakan bahawa kejayaan diplomasi Malaysia semakin terserlah, khususnya menerusi Mesyuarat Kemuncak Silang ASEAN-GCC baru-baru ini.
“Ini setelah penyataan berhubung isu Gaza dapat dikeluarkan bersama buat kali pertama,” katanya.
Tambah beliau, perubahan pendirian semakin ketara di peringkat antarabangsa apabila semakin banyak negara, termasuk di Eropah, yang sebelum ini menyokong Israel, kini mula mendesak agar kekejaman di Gaza segera dihentikan.



