PM Tegaskan Dasar Kerajaan Tidak Harus Bebankan Rakyat – Fahmi

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan perlu memberi manfaat kepada rakyat serta tidak membebankan golongan majoriti, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Memetik laporan Bernama, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata penegasan itu termasuk dalam perbincangan mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api RON95 yang masih dalam fasa penelitian meskipun sebelum ini disebut akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan negatif kepada majoriti rakyat. Samalah juga dengan dasar-dasar yang belum dilaksana, tetapi telah dibayangkan ataupun disebut sebelum ini mengenai RON95.”

“Perdana Menteri ada menyentuh hal ini dalam permukiman dengan Ahli-Ahli Parlimen sebelum ini dan beliau (Anwar) berhasrat untuk memastikan ia tidak mendatangkan kesan yang negatif kepada rakyat dan perkara itu sedang dihalusi,” katanya dalam sidang media mingguan di Parlimen hari ini.

Fahmi berkata kerajaan perlu memastikan mekanisme penyaluran subsidi dilakukan secara teliti bagi mengelakkan berlakunya kesan berantai atau knock-on effect terhadap harga barang dan perkhidmatan, seperti yang telah diambil kira dalam penyasaran subsidi diesel dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pada Mei lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 dijangka dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini, tertakluk kepada proses pengesanan golongan penerima yang layak.

Sementara itu, mengenai Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI yang berlangsung sempena permukiman Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran semalam, Fahmi berkata Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berharap program seperti itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengukuhkan komunikasi antara Parlimen dan pentadbiran.

“Selain memupuk semangat silaturahim dan juga ukhuwah sesama Ahli Parlimen daripada pelbagai latar belakang, negeri dan parti, (permukiman ini juga membolehkan) isu-isu tentang persiapan sidang Parlimen dapat kita bincangkan termasuk rang undang-undang dan beberapa perkara menjurus ke arah pembentangan RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13),” katanya.

Dalam pada itu, mengulas insiden kemalangan jalan raya melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu, Fahmi memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan perincian mekanisme penguatkuasaan lebih menyeluruh dalam masa terdekat.

Katanya, kementerian itu sedang meneliti secara menyeluruh keselamatan pemandu bas, termasuk faktor keletihan dan pematuhan peraturan perjalanan.

Menyentuh mengenai penubuhan Majlis Kebudayaan Negara di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Fahmi berkata Perdana Menteri mahu semua kementerian berkaitan memberikan kerjasama dalam memperkasakan kebudayaan serta ekonomi kreatif negara.

“Majlis ini turut menyentuh aspek ekonomi jingga (orange economy) yang melibatkan ekonomi kreatif … ada beberapa perkara di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi yang juga akan kami usahakan untuk bantu melaksanakan pandangan dan nasihat daripada Majlis Kebudayaan Negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat