Puteri UMNO Pulau Pinang Sambut Baik Tabika Autisme, saran tambah pakar

GEORGETOWN, – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang menyambut baik pengumuman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung peluasan pelaksanaan Tabika KEMAS khas untuk kanak-kanak autisme ke seluruh negara bermula tahun hadapan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO negeri, Puan Ameera Nadia Mohd Shafiee menyifatkan langkah tersebut sebagai satu kejayaan besar selepas pelbagai desakan dikemukakan oleh Puteri UMNO termasuk semasa Persidangan Agung UMNO (PAU) Ogos tahun lalu.

Menurut beliau, ramai ibu bapa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, berdepan kekangan kewangan untuk menghantar anak-anak ke pusat intervensi khas swasta yang menelan kos tinggi.

“Pelaksanaan Tabika Autisme oleh KEMAS membuka ruang kepada akses pendidikan awal yang lebih inklusif. Namun kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada penambahan jumlah Occupational Therapist (OT) dan Speech Therapist (ST) di seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa statistik menunjukkan peningkatan hampir 10 kali ganda kes autisme berbanding sedekad lalu, tetapi sistem sedia ada masih ketinggalan dari segi jumlah tenaga pakar. Malah, katanya, tempoh menunggu antara enam hingga 12 bulan hanya untuk mendapatkan diagnosis rasmi amat membimbangkan dan memberi kesan kepada proses intervensi awal.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO negeri, Puan Nourulisyraq Zafifah pula menekankan kepentingan menyediakan sistem sokongan emosi dan kelas bimbingan kepada ibu bapa yang menjaga anak-anak autisme.

“Kami menerima banyak maklum balas bahawa ramai ibu bapa muda tidak mempunyai ilmu asas dalam mengurus tingkah laku serta keperluan khas anak mereka. Tanpa sokongan ini, pendidikan awal semata-mata tidak mencukupi,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar pelaksanaan Tabika Autisme turut dilengkapi dengan modul latihan asas kepada ibu bapa melibatkan teknik pengurusan emosi, penjagaan anak berkeperluan khas serta sesi komuniti secara berkala.

Kedua-dua pemimpin Puteri UMNO itu menzahirkan komitmen untuk terus menjadi suara pendesak dan pemangkin kepada sistem pendidikan awal serta kebajikan kanak-kanak autisme di Malaysia.

“Masa depan mereka adalah tanggungjawab kita bersama,” ujar Ameera Nadia.
“Tabika adalah permulaan. Sistem sokongan ibu bapa adalah kesinambungan,” tambah Nourulisyraq.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat