Hormati Titah Sultan, Jangan Tekan PM Isu Adendum Najib – PKR Pahang

KUANTAN, 20 Julai – PKR Pahang hari ini menyatakan pendirian tegas menolak sebarang usaha untuk menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar melaksanakan titah adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Dalam satu kenyataan bersama, kesemua 14 Ketua Cabang PKR negeri itu merujuk kepada titah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 28 Februari tahun lalu, yang menitahkan supaya isu berkenaan tidak lagi dibahaskan kerana masih dalam proses undang-undang di mahkamah.

“Kami menegaskan sebarang usaha untuk membicarakan semula perkara ini termasuk memberikan tekanan kepada YAB Perdana Menteri untuk mengambil tindakan bersendirian adalah satu usaha yang membelakangkan Perlembagaan Negara, tidak menghormati proses undang-Undang, tidak matang dan berbentuk campur tangan politik dalam pentadbiran mahkamah, sekali gus membelakangi titah Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Pahang sendiri,” tegas mereka.

Ketua-ketua cabang itu turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Pahang, agar menjunjung kasih serta menunjukkan taat setia kepada institusi Diraja sebagai payung pemerintahan negeri.

“Kami memberikan sokongan padu tidak berbelah bahagi terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa beliau akan terus berpegang kepada prinsip untuk tidak akan mencampuri urusan mahkamah, namun bersedia memberikan penjelasan kepada pimpinan Umno di dalam isu ini,” tambah kenyataan itu.

Untuk rekod, Sultan Abdullah, pada hari terakhir baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari tahun lalu, telah menitahkan agar hukuman penjara terhadap Najib Razak dalam kes rasuah SRC International diringankan, termasuk membenarkan beliau menjalani tahanan rumah.

Adendum itu dikatakan sebagai tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada 6 tahun, manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ketika ini, Najib sedang memohon kepada mahkamah untuk menguatkuasakan titah adendum berkenaan. Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa Peguam Negara tidak menafikan kewujudan titah tersebut.

Susulan perkembangan itu, seramai 160 Ketua Bahagian UMNO dari seluruh negara telah mendesak Perdana Menteri dan kerajaan agar segera melaksanakan titah berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat