KUALA LUMPUR – Pengumuman bahawa Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baru sedikit meredakan kebimbangan awam mengenai isu-isu
bersabit kebebasan badan kehakiman.
Sembilan ahli Parlimen PKR yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, selain Wan Ahmad Farid pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, ia melengkapkan kepimpinan tertinggi badan kehakiman buat masa ini.
Pun begitu katanya, reaksi awal kepada pelantikan Wan Ahmad Farid Wan Salleh adalah bercampur campur, memandangkan latar belakang beliau yang pernah menjadi pemimpin Umno suatu ketika dahulu dan dilihat lebih junior berbanding sebahagian hakim-hakim yang lain.
“Kami berharap sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, Wan Ahmad Farid menerima pelbagai pandangan ini dengan terbuka.
“Ia sewajarnya menjadi pedoman dan dorongan untuk membuktikan kepimpinan beliau kelak akan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dengan lebih baik, mengatasi rekod cemerlang Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menyandang jawatan itu sebelum ini.
“Oleh itu, sebagai ahli-ahli Parlimen, kami berharap kepimpinan badan kehakiman di bawah Wan Ahmad Farid akan meneruskan usaha mengukuhkan kebebasan badan kehakiman, dengan menyelesaikan isu-isu berikut yang telah timbul,” gesa mereka.
Katanya, antara senarai isu yang wajar diselesaikan ialah memuktamadkan lantikan hakim-hakim untuk mengisi 31 kekosongan secepat mungkin, untuk mengelakkan tergendalanya perjalanan pentadbiran kehakiman.
“Kemudian memastikan lantikan hakim-hakim adalah benar-benar berasaskan merit dan senarai kekananan, agar ia berlaku adil kepada hakim-hakim yang telah lama berkhidmat dan bertanggungjawab menjaga mutu dan nama baik badan kehakiman.
“Isu seterusnya memastikan lantikan hakim-hakim mengikut proses yang sewajarnya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta JAC, supaya pelantikan dibuat berasaskan merit dan senarai kekananan dengan sewajarnya.
“Juga memastikan tidak ada campur tangan untuk mencatur, mengawal atau mempengaruhi lantikan hakim-hakim yang bertentangan dengan prinsip kebebasan badan kehakiman, Perlembagaan Persekutuan, Akta JAC mahu pun semangat tatacara yang perlu dipatuhi supaya proses lantikan adalah mengikut merit dan berlaku adil kepada hakim-hakim dan menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan di dalam mesyuarat JAC sebelum ini, termasuklah tindakan susulan untuk menyiasat tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kehakiman yang dibuat terhadap seorang hakim Mahkamah Persekutuan,” sarannya.
Dalam pada itu, kenyataan bersama tersebut juga menyebut kemelut pelantikan kepimpinan badan kehakiman mutakhir ini menunjukkan perlunya reformasi untuk mengukuhkan lagi proses lantikan hakim, supaya perkara ini tidak berulang lagi.
“Kami berharap pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memandang perkara ini telah selesai sepenuhnya, selagi penambahbaikan kepada proses lantikan badan kehakiman tidak dibentangkan kepada rakyat dan dilaksanakan.
“Ini meliputi beberapa pandangan yang wajar diambil kira, termasuklah cadangan supaya kuasa Perdana Menteri menolak senarai pencalonan dari JAC ditambah baik, agar kuasa ini ada hadnya dan Perdana Menteri wajar memberi alasan rasmi (sama ada kepada JAC atau Parlimen) kenapa calon yang telah disaring oleh JAC ditolak.
“Cadangan supaya calon-calon dari badan guaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak dilantik secara automatik menganggotai JAC, seterusnya mengurangkan kuasa Perdana Menteri untuk melantik majoriti anggota JAC seperti sekarang.
“Cadangan supaya Parlimen dilibatkan dalam mengesahkan pencalonan dari JAC sebelum dibawa kepada Perdana Menteri, sama ada dalam bentuk pendengaran pengesahan (confirmation hearing) seperti yang berlaku di negara-negara lain, atau dalam bentuk undi Parlimen (mengikut mekanisme undian yang boleh ditentukan kelak).
“Kami akan terus memberi perhatian kepada perkara-perkara ini supaya ada suara dari backbenchers untuk memastikan proses reformasi ini dapat berjalan secara berterusan,” tegas mereka.
Kenyataan ini ditandatangani bersama, bertarikh 18 Julai 2025 oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar.



